fbpx

Maklumat pegawai ditolak dalam kes rasuah Bung Moktar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bung Moktar.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini memutuskan maklumat yang diperolehi oleh pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada sumber yang tidak diketahui, tidak boleh dikemukakan pada perbicaraan kes rasuah melibatkan Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Maklumat itu diperolehi oleh Penguasa Kanan Mohd. Haris Ibrahim daripada salah seorang pegawai atasannya yang membawa kepada siasatan terhadap Bung Moktar dan isterinya Datin Seri Zizie Izzette A. Samad.

Hakim Rozina Ayob ketika membenarkan bantahan awal pihak pembelaan berpuas hati bahawa maklumat itu tidak boleh dianggap sebagai laporan maklumat pertama (FIR) kerana ia tidak mematuhi peruntukan di bawah Akta SPRM 2009.

Mohd. Haris, 42, yang merupakan saksi terakhir pendakwaan ketika memberi keterangan pada 12 April lalu menyatakan, pada 9 Jun 2016 beliau menerima arahan daripada pegawai atasan itu di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya untuk menulis aduan berkaitan satu kes.

Maklumat itu bagaimanapun dibantah oleh pihak pembelaan atas alasan ia bersifat dengar cakap (hearsay) dan boleh memprejudiskan Bung Moktar yang kini dibicarakan atas pertuduhan rasuah manakala  isterinya didakwa bersubahat.

Pada perbicaraan lalu, pihak pembelaan berhujah, aduan tersebut tidak boleh dianggap sebagai FIR kerana ia dibuat berdasarkan maklumat yang diterima daripada seorang pegawai atasan selaku pihak ketiga, bukan daripada pemberi maklumat. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI