PETALING JAYA- Lapan negeri termasuk Perak, Selangor dan Putrajaya menerima amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang pada petang ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berkata, turut menerima amaran sama ialah Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Sarawak dan Sabah.
“Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka di negeri Perak melibatkan kawasan Batang Padang manakala di Terengganu meliputi kawasan Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman.
“Di Pahang, kawasan terlibat ialah Jerantut dan Kuantan manakala di Selangor (Sabak Bernam, Klang, Kuala Langat dan Sepang) selain Negeri Sembilan melibatkan kawasan Seremban, Port Dickson, Kuala Pilah dan Rembau,” katanya menerusi hantaran Facebook di sini tadi.
Jelas MetMalaysia, amaran sama turut dikeluarkan sehingga pukul 6 petang ini melibatkan beberapa kawasan di Sarawak dan Sabah.
“Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka di Limbang, Sarawak manakala di Sabah melibatkan beberapa kawasan seperti Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Tawau, Kota Kinabalu dan Sandakan,” jelasnya.
Amaran terbabit dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.- KOSMO! ONLINE