PETALING JAYA – Skuad badminton lelaki negara memulakan aksi pada saingan Piala Thomas 2022 di Bangkok, Thailand dengan langkah positif selepas mencatat kemenangan bersih 5-0 ke atas England sebentar tadi.
Pada perlawanan yang berlangsung di Impact Arena itu, Malaysia memulakan aksi sulung Kumpulan D menerusi aksi bertenaga perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia dengan menewaskan Toby Penty 21-10, 21-15.
Beregu utama, Aaron Chia-Soh Wooi Yik kemudian memastikan mata kedua milik Malaysia meskipun berdepan tentangan sengit Ben Lane-Sean Vendy apabila menang dalam aksi tiga set 19-21, 21-15, 21-16.
Perseorangan kedua, Ng Tze Yong memastikan Malaysia terus selesa mendahului 3-0 apabila menewaskan Johnie Torjussen 21-16, 19-21, 21-11 sebelum Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menang 21-13, 21-9 ke atas Rory Easton-Zach Russ.
Pada aksi perseorangan ketiga, Leong Jun Hao memastikan Malaysia menamatkan aksi sulung Kumpulan D itu dengan kemenangan 5-0 selepas menewaskan Cholan Kayan 21-11. 21-18.- KOSMO! ONLINE