PETALING JAYA – Sejak semalam kecoh di media sosial rakaman seorang pembeli mengamuk di sebuah premis alat elektronik apabila telefon bimbit yang baru dibelinya telah rosak.
Menerusi video yang dimuat naik itu, memaparkan lelaki berkenaan ‘menyerang’ pekerja-pekerja kedai tersebut serta melemparkan kata-kata kesat kerana terlalu marah.
Jelasnya, telefon bimbit tersebut baru sahaja dibeli kurang dari 24 jam dan telah rosak.
Selain itu, terdapat beberapa kerosakan pada telefon bimbit berkenaan temasuklah kesan gam seperti barang terpakai dan bukan yang baharu.
“Ini awak tipu saya, saya beli tak sampai 28 jam sudah rosak dan awak suruh saya pergi ke kedai macam-macam tempat pula.
“Awak bagi saya telefon ‘secondhand’ (barang terpakai), dekat badan telefon pun ada gam,” katanya.
Dalam pada itu, lelaki terbabit juga bertindak membaling telefon bimbitnya itu ke lantai secara berulang kali sambil meluahkan rasa kesal kerana merasakan seperti ditipu oleh penjual kedai tersebut.
Sehubungan itu, pelbagai reaksi diberikan oleh orang ramai dan rata-ratanya bersetuju dengan tindakan lelaki berkenaan kerana memang terdapat penjual yang tidak jujur dalam berniaga.
Malah, ada juga pengguna lain berkongsi pengalaman mereka ketika menghadapi situasi seperti itu.
“Puas aku tengok abang itu marah, memang ramai jenis penipu, kata jual barang baru, rupanya bekas orang guna, memang buat untung haram,” komen Malik.
“Aku pun pernah kerja kedai telefon dan majikan aku sendiri pernah buat macam ini sebab nak untung, akhirnya aku berhenti sebab tak nak bersubahat,” jelas seorang pengguna. – KOSMO! ONLINE