fbpx

Pemandu bas disyaki cabul penumpang wanita direman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suspek kes cabul penumpang bas dibawa untuk direman selama empat hari di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini.

KUALA TERENGGANU – Seorang pemandu bas berusia 27 tahun ditahan reman selama empat hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan kes mencabul seorang penumpang wanita di Ajil, Hulu Terengganu awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, perintah reman itu dibenarkan Pendaftar Mahkamah Majistret/Sesyen Kuala Terengganu, Hairul Azhar Mohamad di sini hari ini.

“Sebelum ini, suspek yang merupakan bapa kepada dua anak dibawa dari Melaka sebaik ditahan (di Melaka Sentral) semalam.

“Dia disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripadanya jika sabit kesalahan,” katanya di sini hari ini.

Kosmo! semalam melaporkan seorang pemandu bas ditahan di Melaka Sentral selepas disyaki mencabul seorang penumpang wanita ketika dalam perjalanan dari Kelantan ke negeri tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, suspek ditahan sebaik sahaja kenderaan yang dipandunya tiba di terminal tersebut pada pukul 10.30 pagi.

“Mangsa (mendakwa) dicabul ketika bas itu berhenti di Ajil, Terengganu pada pukul 4 pagi. Sewaktu kejadian wanita itu sedang tidur sebelum terjaga selepas badannya disentuh,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI