IPOH – Seorang juruterbang yang menerbangkan sebuah helikopter untuk mengambil pesanan nasi kandar didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana tidak mematuhi pelan penerbangan.
Tertuduh, Datuk Mohamed Raffe Chekku, 53, yang juga pengarah urusan sebuah syarikat bagaimanapun mengaku tidak bersalah setelah pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Jessica Daimis.
Dia didakwa mengikut Seksyen 77 (2) Peraturan-peraturan Penerbangan Awam 2016 kerana melanggar kaedah-kaedah udara seperti yang ditentukan oleh Ketua Pengarah Penerbangan Awam.
Ini kerana mengikut Direktif Penerbangan Awam 2, tertuduh telah melanggar pelan penerbangan apabila membuat pendaratan sebuah pesawat jenis Bell 505 nombor pendaftaran 9M RCI di lokasi selain aerodrom.
Mengikut kesalahan itu, dia didakwa di bawah peraturan tersebut dan boleh dihukum di bawah Peraturan 206 (3)(a) akta sama iaitu denda tidak melebihi RM50,000, penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Tertuduh bagaimana pun mengaku tidak bersalah.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa raya, Jane Sharmila Jesudason manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Baljit Singh Sidhu.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin manakala kes disebut semula pada 29 Jun depan. – KOSMO! ONLINE