HONG KONG – Bekas Setiausaha Keselamatan Hong Kong, John Lee, yang mengetuai tindak balas terhadap protes prodemokrasi pada 2019 telah dilantik secara rasmi sebagai Ketua Eksekutif hab perniagaan itu semalam, lapor United Press International (UPI).
Lee, 64, memperoleh 1,416 daripada 1,428 undian, yang bersamaan dengan 99.2 peratus.
Beliau dipilih oleh jawatankuasa pilihan raya yang didominasi oleh tokoh-tokoh politik dan perniagaan proBeijing. Hanya lapan ahli menentang, manakala empat undian selebihnya disahkan rosak.
Lee merupakan Ketua Eksekutif paling tua yang disahkan untuk jawatan berkenaan dan juga merupakan bekas pegawai polis pertama yang menjawat tugas utama di Hong Kong selepas lebih satu abad.
Beliau akan memulakan penggal lima tahun kepimpinan pada 1 Julai ini, sempena ulang tahun ke-25 Hong Kong dikembalikan kepada China.
“Dengan kesetiaan dan ketabahan, saya akan melaksanakan misi bersejarah ini dan memikul tanggungjawab untuk menyatukan dan memimpin 7.4 juta penduduk Hong Hong bagi memulakan lembaran baharu bersama-sama,’’ ucap Lee selepas dilantik. – Agensi