PUTRAJAYA – Jangkitan Covid-19 semalam meningkat kepada 2,153 kes berbanding kelmarin 1,372 kes, menjadikan jumlah keseluruhan kes di Malaysia sebanyak 4,458,889 kes.
Berdasarkan data pada laman web CovidNow, daripada kes yang dilaporkan semalam, terdapat dua kes import yang dikenal pasti mendapat jangkitan dari luar negara.
Dalam masa sama, sebanyak 2,869 kes sembuh direkodkan dengan jumlah keseluruhan kes sembuh daripada Covid-19 sebanyak 4,400,750 kes.
“Kesemua kes harian tersebut dilaporkan Selangor (1,157 kes), Kuala Lumpur (261 kes), Pulau Pinang (156 kes), Negeri Sembilan (105 kes), Perak (91 kes), Johor (81 kes), Kedah (63 kes) dan Melaka (63 kes).
“Seterusnya, Pahang (35 kes), Sarawak (34 kes), Terengganu (34 kes), Sabah (29 kes), Kelantan (25 kes), Putrajaya (tujuh kes), Perlis (enam kes) dan Labuan (enam kes),” demikian maklumat tersebut hari ini.
Turut dilaporkan adalah empat kes kematian akibat Covid-19 yang menjadikan jumlah kematian terkini sebanyak 35,583 kes serta tiga kes meninggal dunia di luar hospital atau brought in death (BID) dengan jumlah kes BID kekal 7,533 kes. -KOSMO! ONLINE