PETALING JAYA – Pelbagai taktik yang digunakan pihak scammer untuk menipu mangsa bagi mendapatkan wang dengan mudah.
Terbaharu, pereka fesyen tersohor negara, Datuk Rizalman Ibrahim di laman Instagrammnya ada berkongsi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikatnya, Faizul Surani yang hampir diperdaya scammer.
Apa membimbangkan katanya, scammer tersebut telah menyamar sebagai ‘Tuanku Permaisuri Agong’ dan cuba memperdaya mangsa menerusi aplikasi Telegram.
Berdasarkan tangkap layar perbualan di Telegram yang dikongsi Rizalman, pihak scammer berjaya menceroboh akaun Telegram dan menyamar sebagai Tuanku Permaisuri Agong.
Dalam perbualan itu, ‘Tuanku Permaisuri Agong’ telah meminta Faizul memindahkan wang ke seorang lelaki dikenali sebagai Khairul Ikhwan sebanyak RM3,000.
Bagaimanapun, pihak scammer gagal memperdaya Faizul apabila lelaki tersebut sempat membuat semakan dan pengesahan daripada Permaisuri Agong sendiri.
“Mohon hati-hati dengan scammer, mereka sudah berjaya menceroboh ke Telegram, jangan terpedaya dengan scammer. Nasib double check dengan Tuanku, ampun Tuanku,”tulis Faizul pada tangkap layar perbualannya.-KOSMO! ONLINE