Saudara pengarang,
Perjalanan pulang ke kampung bersempena cuti menyambut Hari Raya Aidilfitri di Kelantan pada minggu lalu sedikit terganggu disebabkan struktur jalan raya yang tidak diselenggara dengan baik.
Lebih menyedihkan, terdapat sesetengah kawasan di laluan Gua Musang menghala ke Kuala Krai diibaratkan seperti kawasan selepas perang, berlubang di sana sini, malah ada juga permukaan jalan yang tidak rata seperti ‘kuih akok’.
Keadaan sama turut dilaporkan berlaku di laluan utama pintu masuk dari utara ke Pantai Timur iaitu Lebuh Raya Timur Barat yang menghubungkan Gerik dan Jeli.
Difahamkan, ada kawasan yang telah bertahun-tahun dalam keadaan sebegitu dan tiada tindakan diambil oleh pihak berkuasa.
Sebagai pembayar cukai setiap tahun, saya amat terkilan dengan keadaan jalan raya seperti ini yang seolah-olah tidak ‘bertuan’.
Sepatutnya agensi seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu bertindak segera untuk menyelenggara jalan tersebut.
Apabila dikata ‘tidur’, ada pula pihak yang marah, namun itulah hakikatnya.
Sebagai pengguna jalan raya, kami terpaksa akur walaupun setiap tahun tidak pernah gagal melunaskan pembayaran cukai jalan.
Jika semua pihak menjalankan tanggungjawab seperti yang terkandung dalam skop kerja masing-masing, saya yakin masalah jalan seperti ini dapat diselesaikan dalam tempoh yang singkat.
Jangan sampai isu ini tular dahulu baru ada pihak yang hendak bertindak!
Pilot Junior
Kuala Krai, Kelantan