fbpx

Suki seronok belajar puasa, hargai budaya, agama lain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SUKI LOW

KEHADIRAN bulan Ramadan dan Syawal bukan hanya membawa 1,001 rahmat buat individu yang beragama Islam tetapi juga terhadap golongan bukan Muslim.

Merasai keterujaan yang sama seperti orang lain, Suki Low atau nama sebenarnya Low Sook Yee melihat bulan Ramadan sebagai peluang untuk menyelami rahmat setiap sisi agama dan budaya masyarakat lain.

Malah, dia yang selesa disapa sebagai Suki memberitahu dirinya turut merasai nikmat Ramadan terutama selepas hampir sebulan menjalani ibadah puasa sama seperti umat Islam lain.

Teruja belajar budaya lain

Bersyukur diberikan rezeki dikelilingi teman rapat dan rakan bisnes beragama Islam. Itu yang berulang kali diucapkan bekas peserta Gegar Vaganza musim kelapan itu ketika memulakan bicara tentang pengalaman sepanjang bulan Ramadan lalu.

“Saya dikelilingi oleh kawan-kawan beragama Islam dan rasanya tidak ada masalah untuk saya menjalani ibadah puasa. Tiada rasa kekok mahupun janggal, malah mereka sangat menjaga dan kerap bertanya tentang keadaan saya.

“Lebih membuatkan saya bersemangat berpuasa apabila tinggal serumah dengan beberapa kakitangan yang bekerja dengan saya untuk bisnes kami. Kami bekerja, puasa, sahur dan berbuka bersama-sama,” tuturnya kepada HibGlam.

SEMPENA cuti perayaan Aidilfitri, Suki mengambil peluang membawa keluarga tercinta bercuti di beberapa lokasi menarik tanah air seperti Sabah dan Sarawak. – Foto MOHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI

Tambahnya, ini merupakan pengalaman pertama dia berpuasa mengikut rutin bermula dengan sahur, berpuasa dan berbuka.

Tidak memandang ibadah puasa sebagai satu rutin yang membebankan, anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu menganggap bulan Ramadan dan Syawal sebagai titik tolak merasai nikmat agama lain.

Katanya, melihat dirinya yang berbangsa Cina mempelajari tentang agama lain menjadi cerminan masa depan harmoni yang perlu diteruskan oleh individu lain.

“Bagi saya, inilah masa depan sebuah masyarakat harmoni yang saya dan semua inginkan. Sama-sama belajar budaya antara satu sama lain.

“Kita kongsi pengalaman dan memahami budaya orang lain dengan lebih mendalam. Apabila sudah belajar, barulah kita akan faham mengapa sesuatu perkara dilakukan.

“Jika tak cukup pengetahuan dan ilmu, kita tak akan faham budaya orang sekali gus tiada rasa hormat terhadap agama lain,” katanya penyanyi berusia 32 tahun itu.

SELAIN berpuasa, pelantun lagu Terlalu Mencintaimu ini juga turut merasai pengalaman bersahur bersama rakannya yang beragama Islam.

Bercerita lanjut, Suki juga banyak bertanya tentang kewajipan berpuasa termasuk solat sunat tarawih untuk lebih memahami dan merasai nikmat Ramadan serta Syawal.

“Contohnya apabila saya sudah belajar berpuasa dan bangun sahur, barulah faham mengapa orang Islam diwajibkan untuk melakukannya.

“Syukur saya dikurniakan sahabat yang sentiasa rajin menjawab pertanyaan saya tentang banyak perkara berkaitan agama dan budaya.

“Setiap budaya mempunyai sisi keindahannya sendiri. Jika tak tanya, memang takkan tahu. Rugi jika tak mahu menyelami,” katanya lagi.

Single baharu

Berkongsi mengenai perjalanan karier sebagai penyanyi, bekas juara One In A Million itu baru sahaja muncul dengan single baharu berjudul Nelangsa.

Menurutnya, Nelangsa merupakan runut bunyi bagi filem The Assistant yang akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 19 Mei ini.

Suki meluahkan rasa bangga kerana diberikan peluang untuk menyampaikan karya ciptaan komposer popular, Farouk Roman tersebut.

MASIH berjaga-jaga, Suki tidak berhasrat untuk membawa anak-anaknya ke majlis keramaian termasuk rumah terbuka kerana bimbang jangkitan Covid-19.

“Siapa yang tidak teruja dapat bekerjasama dengan Farouk, setiap karyanya pasti ada magis yang mampu memukau pendengar. Kali ini saya merupakan insan yang bertuah itu.

“Nelangsa membawa maksud sedih dan lagu ini sangat dekat dengan jiwa yang tidak hilang rasa duka selepas kehilangan insan tersayang satu ketika dahulu.

“Jadi tidak sukar untuk saya menyalurkan emosi untuk lagu ini. Teruja juga sebab akhirnya saya muncul dengan lagu baharu selepas hampir sedekad menyepi tanpa sebarang produk,” katanya mengakhiri perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI