PUTRAJAYA – Kehadiran pengunjung pelbagai kaum dan latar belakang ke Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri 2022 di Kompleks Seri Perdana di sini membuktikan hubungan akrab Keluarga Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, malah kemeriahan sambutan majlis tersebut juga istimewa berikutan sebelum ini ia tidak boleh diadakan ekoran pandemik Covid-19.
“Inilah keistimewaan sebagai keluarga besar Keluarga Malaysia, begitu akrab di negara kita tanpa mengira kaum.
“Hari Raya Aidilfitri disambut meriah oleh seluruh rakyat Malaysia begitu juga perayaan lain, hari ini semua hadir untuk wakili kaum masing-masing,” katanya menerusi temu ramah lintas langsung bersama beberapa stesen televisyen pada majlis rumah terbuka itu di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, bulan Syawal yang mulia ini seharusnya dimanfaatkan untuk bermaaf-maafan antara satu sama lain.
“Bermaaf-maafan bukan setakat kata-kata tetapi mestilah tidak mengulangi kesilapan, gunakan bulan untuk untuk rapatkan hubungan,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri turut menasihatkan pengguna jalan raya yang pulang ke destinasi selepas berakhir cuti Aidilfitri supaya mendapatkan rehat secukupnya sebelum memulakan perjalanan pulang ke destinasi.
“Saya percaya jalan sesak dan mungkin ada yang akan mengantuk, pastikan badan segar sebelum memulakan perjalanan. Jika penat atau mengantuk, elok berhenti dahulu dan tidur sekejap dan jangan memaksa diri hingga membahayakan diri,” katanya. – KOSMO! ONLINE