KUALA LUMPUR – Penerjun sensasi negara, Nur Dhabitah Sabri menepati ramalan apabila memenangi pingat emas acara satu meter (m) papan anjal individu wanita pada Sukan SEA Vietnam 2021 sebentar tadi.
Dhabitah tiada masalah untuk mengungguli aksi final yang berlangsung di Pusat Akuatik My Dinh sejak percubaan pertama dengan mengutip markah keseluruhan 290.45 daripada lima terjunan.
Ia adalah pingat emas pertama buat kontinjen Malaysia pada temasya Sukan SEA yang akan berlangsung sehingga 23 Mei ini.
Lebih manis, pingat perak juga berjaya dimenangi seorang penerjun negara, Kimberly Bong Qian Ping selepas meraih 230 markah keseluruhan.
Tempat ketiga pula menjadi milik penerjun Vietnam, Ngo Phuong Mai Ngo. – KOSMO! ONLINE