PETALING JAYA – Ribuan pengguna kenderaan laluan Pantai Timur yang terpaksa menempuh kesesakan lalu lintas sehingga berbelas jam untuk pulang ke kota sedikit terubat apabila mereka diberikan minuman.
Inisiatif tersebut dilakukan sekumpulan penduduk dipercayai di Pekan Bandar Setiu, Terengganu.
Rakaman video berdurasi 32 saat yang dikongsi seorang pengguna dikenali sebagai @Muiithehappy menunjukkan sekumpulan lelaki mengagihkan air minuman berperisa kepada pengguna jalan raya yang terkandas kesesakan di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT).
Lebih mengharukan apabila penduduk kampung sekitar turut bersama-sama mengedarkan minuman kepada kenderaan yang lalu di kawasan berkenaan.
Rata-rata orang ramai memuji tindakan kumpulan tersebut dalam membantu meringankan beban perantau menempuh kesesakan untuk pulang ke rumah masing-masing.
“Baiknya orang Pantai Timur,” komen seorang pengguna yang dikenali sebagai Zaidi.
“Rakyat Malaysia memang berhati mulia,’ tulis Izzah Nadhirah.
“Orang Terengganu memang baik-baik. Patutlah ibu saya suruh saya cari menantu orang sini,” seloroh Edy. – KOSMO! ONLINE