KUALA KANGSAR – Seorang pelajar lelaki tingkatan tiga maut setelah motosikal ditunggangnya terlibat nahas dengan dua kenderaan lain di Kilometer 73, Jalan Ipoh-Gerik dekat Sauk di sini semalam.
Dalam kemalangan sekitar pukul 11.40 malam itu, mangsa, Muhammad Nashrullah Azhary, 15, cedera parah dan maut di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, nahas berlaku membabitkan motosikal jenis Yamaha Lagenda ditunggang mangsa dengan sebuah motosikal Modenas Kriss dan kereta Perodua Axia.
Katanya, kemalangan dipercayai berlaku ketika kereta dinaiki empat lelaki yang dalam perjalanan dari arah Gerik ke Kuala Kangsar itu cuba memotong kenderaan lain dengan masuk ke laluan bertentangan.
“Pada masa sama, dua motosikal yang datang dari arah bertentangan dengan penunggang motosikal Modenas Kriss cuba mengelak ke kiri namun telah bergesel pada bahagian sisi kanan kereta sebelum hilang kawalan dan terbabas di bahu kiri jalan.
“Motosikal mangsa yang mengekori dari belakang bagaimana pun tidak sempat mengelak lalu bertembung bahagian hadapan kereta berkenaan.
“Mangsa yang masih bersekolah cedera parah dan disahkah maut di tempat kejadian. Penunggang motosikal lain berusia 16 tahun pula patah pergelangan tangan kanan,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, dalam nahas itu, pemandu dan seorang penumpang kereta yang duduk di bahagian belakang kenderaan masing-masing cedera pada jari dan dahi.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera dibawa ke hospital sama untuk rawatan.
“Siasatan mendapati punca kemalangan akibat pemandu kereta cuai ketika memotong dan memasuki laluan bertentangan. Lelaki berusia 22 tahun itu ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE