fbpx

Bateri tiruan bernilai RM24,960 dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ABDUL MUBIN Ahmad (tengah) menunjukkan pelbagai jenis bateri tiruan yang dirampas dari sebuah kedai di Jerantut semalam.

JERANTUT – Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Jerantut berjaya merampas 5,969 biji bateri tiruan jenama terkenal pelbagai saiz bernilai RM24,960 dalam satu serbuan di sebuah kedai di bandar Jerantut di sini baru-baru ini.

Ketua Penguatkuasa PPDNHEP Jerantut, Abdul Mubin Ahmad berkata, serbuan kira-kira pukul 11.13 pagi itu dilakukan hasil aduan wakil cap dagang Panasonic yang menerima aduan awam mengenai penjualan bateri tiruan.

“Semasa serbuan dilakukan mendapati premis berkenaan merupakan unit rumah kedai yang dijadikan pusat jualan dan stor bagi penyimpanan barang yang cap dagangan Panasonic dipakaikan secara salah.

“Antara bateri tiruan yang disita ialah jenama Panasonic Eneloop pro AAA sebanyak 896 biji, Panasonic pro AA (960 biji), Panasonic Eneloop AAA (960 biji), Panasonic Eneloop AA (720 biji) dan bateri jam lithium jenama Panasonic (3,200 biji),”katanya di sini hari ini.

Menurutnya, premis berkenaan disyaki menjual atau menawarkan untuk menjual barang yang cap dagangan Panasonic dipakaikan secara salah dan telah melanggar Seksyen 102(1)(b) Akta Cap Dagangan 2019.

Beliau memberitahu bateri tiruan berkenaan digunakan untuk jam tangan, kamera dan mesin kira yang dijual dengan harga lebih murah antara RM30 hingga RM75 berbanding harga bateri tulen RM150.

Katanya berdasarkan siasatan awal mendapati bateri berkenaan dijual secara dalam talian dan kepada pelanggan tetap kedai berkenaan sejak 2020.

Dalam pada itu beliau berkata, bateri tiruan yang dirampas dibawa ke stor simpanan pejabat PPDNHEP Jerantut dan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 102(1)(b) Akta Cap Perdagangan 2019.

“Sekiranya disabitkan kesalahan pemilik premis berkenaan boleh dikenakan denda sebanyak RM15,000 bagi kategori syarikat, manakala tidak lebih RM10,000 bagi kategori individu,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI