fbpx

Sabri Yunus, Sangeeta sambut Hari Ibu dengan Am’ma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sabri Yunus hadir dengan telefilem berjudul Am'ma bersempena Hari Ibu lakonan Sangeeta (kanan).

BERSEMPENA Hari Ibu yang disambut hari ini, syarikat penerbitan Dream At Work Sdn Bhd (DAW) muncul dengan karya hebat iaitu sebuah telefilem berjudul Am’ma yang akan ditayangkan di saluran TVOkey, pukul 3 petang.

Telefilem arahan pengarah berkaliber Sabri Yunus tersebut menampilkan pemenang Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-29 (FFM29), Sangeeta Krishnasamy dan barisan pelakon Kashika Selvam, Angeline Tan serta Armand Ezra.

Penerbitnya, Datuk Muhammad Razlan Ismail berkata, Am’ma asalnya adalah naskah filem pendek nukilan terbaik daripada Pembangun Kandungan DAW, Cik Syazana Ghani.

“Warna kehidupan filem pendek, Am’ma ini amat selari dengan pegangan karya DAW dalam mengangkat kisah-kisah orang kecil masyarakat kita di Malaysia tanpa mengira siapa, warna dan mahupun agama. Filem pendek ini cocok untuk dijiwai oleh seluruh rakyat Malaysia bagi memahami kisah kita dan kisah seorang ibu.

Olahan, adunan Sabri Yunus

“Idea dan naskhah ini terus dirujuk kepada idolanya yang juga mentor, arkitek seni dan perfileman negara, Sabri Yunus. Menerusi Sabri Yunus, Am’ma diolah dan diadun sempurna bagi menjadikannya sebuah karya yang akan turut dingati dan paling penting, dijiwai oleh seluruh masyarakat yang menontonnya,” katanya.

Menariknya, filem pendek berkenaan juga sudah memenangi anugerah bagi beberapa kategori di pertandingan filem pendek antara universiti di Malaysia dan tersenarai sebagai finalis di FITAWAVE Short Film Awards pada 2019 yang lalu.

Menurut Razlan, pihaknya yakin jika Am’ma bakal menjadi sebuah naskhah yang diingati.

“DAW juga amat bersyukur apabila pihak RTM menyambut baik telefilem ini melalui proses ‘pitching’ yang diadakan tahun lalu.

“Saluran TVOkey juga bersetuju untuk mengangkat karya ini sebagai sebuah telefilem khas sempena Hari Ibu tahun ini. Am’ma turut dijayakan dengan baik oleh barisan pelakon hebat seperti Sangeeta Krishnasamy, Kashika Selvam, Angeline Tan, Armand Ezra, Bibiana Anthony dan DJ Nen Tebabo.

Sabri Yunus menggalas tanggungjawab sebagai pengarah telefilem berjudul Am’ma bersempena Hari Ibu yang akan ditayangkan hari ini di saluran TVOkey, pukul 3 petang hari ini.

“DAW menjanjikan Am’ma bakal menjadi naskah yang diminati dan diingati oleh peminat drama tanah air dan seluruh masyarakat Malaysia amnya,” katanya.

Sangeeta bawa watak ibu pekak, bisu

Sementara itu, Sangeeta sebagai teraju utama berkata, dia sudah lama memasang impian untuk bekerjasama dengan Sabri Yunus yang menyifatkan hasil kerjanya penuh kesenian, unik dan mendalam.

“Apabila pertama kali dengar jalan cerita, saya berasa terharu yang abang Sabri amanahkan kepada saya watak ini iaitu seorang ibu tunggal yang pekak dan bisu.

“Jalan cerita ini sangat dekat kepada realiti hidup orang kelainan upaya (OKU) yang tidak berkemampuan di luar bandar. Sewaktu menjalani penggambaran di Kuala Pilah, Negeri Sembilan saya juga melihat keadaan dan cabaran harian yang dilalui oleh anak muda di situ yang membuat saya lebih memahami situasi mereka,” katanya.

Pelakon berpengalaman, Angeline Tan turut berlakon di samping aktres terbaik, Sangeeta (bersari) dalam telefilem Am’ma.

Dalam pada itu, Sangeeta yang cukup dikenalki menerusi filem Adiwiraku berkata, telefilem Am’ma begitu dekat di hatinya.

“Cerita ini sangat dekat di hati saya, sebab ia mengangkat hubungan antara seorang ibu yang tidak boleh bercakap, tidak berpelajaran tinggi disebabkan keadaan hidup dan seorang anak yang tidak tahu ‘sign language’ yang inginkan kasih sayang ibunya dan bagaimana mereka mengatasinya melalui salah faham yang timbul,” katanya.

Am’ma mengisahkan konflik diantara seorang ibu OKU (pekak dan bisu), Devika lakonan Sangeeta dan anak perempuannya, Anju (Kashika) yang normal.

Perhubungan mereka sentiasa tegang akibat masalah komunikasi yang tidak sempurna antara mereka. Namun, secara diam anaknya cuba dalam memahami ibunya dan mempelajari bahasa isyarat. Ibunya secara terangan tetap mencuba mendekati dan memahami jiwa anaknya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI