fbpx

Melaka United menang sebab Kedah ‘pancit’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IFEDAYO Olusegun (tengah) meraikan jaringan bersama rakan-rakan sepasukan ketika menewaskan KDA FC 3-2 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar kelmarin. - SHAHIR NOORDIN

JURULATIH Melaka United, Mohd. Asri Ninggal menyifatkan keadaan pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang dilihat ‘pancit’ dalam tempoh 20 minit terakhir aksi membolehkan pasukannya mendominasi perlawanan serta bangkit daripada ketinggalan untuk meraih kemenangan 3-2 di Stadium Darul Aman kelmarin.

Mohd. Asri berkata, beliau berbangga dengan aksi ditampilkan pemain kerana tidak langsung menunjukkan tanda-tanda berputus asa walaupun dua kali ketinggalan ketika beraksi di depan ribuan penyokong lawan.

Katanya, perkara itu membuktikan betapa pemain-pemain Melaka United sememangnya memiliki kualiti diperlukan untuk menampilkan aksi terbaik.

“Pada akhirnya saya tengok pemain KDA FC macam ‘pancit’ dalam tempoh 20 minit terakhir. Jadi, kami terus dominasi perlawanan terutamanya di bahagian tengah.

“Kita buat pertukaran dengan masukkan bekas penyerang kebangsaan Norshahrul Idlan Talaha serta meletakkan Sony Norde di sayap kiri.

“Percaturan itu menjadi di mana kami berjaya mendominasi perlawanan dan kedua-dua pemain ini membuatkan KDA FC kucar-kacir terutamanya di benteng pertahanan,” katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Kelibat lincah Norshahrul atau Mat Yo yang dimasukkan sebagai pemain gantian nyata menjadi antara faktor yang membawa kepada kemenangan Melaka United apabila dia terlebih dahulu menggelecek dua pemain pertahanan KDA FC, sebelum membuat hantaran lambung kepada Ifedayo untuk disudahkan de­ngan jaringan menerusi tandukan pada masa kecederaan.

Terdahulu, Melaka United dua kali ketinggalan menerusi jari­ngan tonggak penyerang KDA FC, Ronald Ngah Wanja pada minit ke-19 dan penyerang kebangsaan, Muhammad Syafiq Ahmad pada minit ke-36 sebelum mereka bangkit menyamakan kedudukan melalui jaringan dilakukan Ifedayo pada minit ke-23 dan Emmanuel Oti pada minit ke-77.

Mengulas kebangkitan Melaka United dalam dua perlawanan terakhir, Mohd. Asri berkata, beliau sebelum ini telah melemparkan cabaran kepada para pemain untuk melakukan yang terbaik.

“Tahun lepas kita melakukan usaha yang agak baik dalam Piala Malaysia tetapi mengapa tahun ini kita kalah dalam empat perlawanan pertama. Saya nyatakan kepada para pemain bahawa penyokong juga ketika ini sudah tidak percaya pada kita.

“Jadi ini masanya untuk kita bangkit dan tunjukkan kepada penyokong bahawa pasukan ini sebenarnya bagus. Kita boleh bermain baik asalkan masing-masing bekerja keras dan insya Allah pada akhirnya, tuhan akan tunaikan segala yang kita hajati,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI