LONDON – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola menggesa barisan pemainnya agar segera keluar daripada episod kekecewaan di pentas Eropah dengan mengembalikan fokus sepenuhnya kepada misi memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
The Citizens akan melayan kunjungan Newcastle United di Stadium Etihad malam ini dan hanya kemenangan mampu membolehkan skuad juara bertahan itu menjarakkan diri dengan Liverpool yang kini hanya dipisahkan satu mata di tangga kedua.
“Mungkin saya tidak cukup bagus untuk membantu pasukan. Tiada siapa tahu apa yang akan berlaku, kami tidak akan mengalah dan akan terus mencuba dengan lebih bagus musim depan.
“Kekalahan kepada Real Madrid di peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara sama sekali tidak mematahkan semangat saya. Sebaliknya, ia menjadikan saya semakin dahagakan kejayaan,” kata Guardiola.
Walaupun perit untuk menelan kekalahan di tangan Real, namun pengurus dari Sepanyol itu menganggap kekecewaan tersebut mampu menjadi pembakar semangat buat mereka tampil lebih baik dalam baki empat perlawanan selepas ini.
Guardiola merasakan pengalaman mengecewakan di pentas Eropah akan membantu City keluar daripada zon selesa dan menjadikan kelab itu lebih baik pada masa depan.
“Bagaimana kami mahu melupakannya? Sebenarnya kami tidak perlu melupakan kekecewaan itu kerana fokus kami sekarang adalah aksi menentang Newcastle.
“Apa yang berlaku di Madrid akan membantu kelab ini pada masa akan datang. Ia bagus untuk kami kerana kekalahan itu akan menjadikan pasukan ini lebih baik,” jelasnya. – AGENSI