fbpx

51 negara kekal ‘buka’ pasaran eksport makanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEKERJA memindahkan buah sawit yang dituai ke trak pengangkutan sebelum diproses menjadi minyak sawit mentah (MSM) di ladang sawit di Pekanbaru, Sumatera pada 23 April lalu. - AFP

BRUSSELS – Kesatuan Eropah (EU), Amerika Syarikat (AS) dan puluhan negara lain berikrar untuk mengukuhkan keselamatan makanan global dalam satu kenyataan bersama kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Ikrar tersebut disuarakan susulan amaran mengenai impak global terhadap keselamatan makanan akibat krisis pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

Menurut kumpulan tersebut, mereka akan memfokuskan untuk melaksanakan langkah terbaik bagi mengekalkan pasaran dan perdagangan pertanian yang terbuka serta boleh diramal.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini telah memberi amaran bahawa perang dan sekatan ekonomi ke atas Moscow telah mengganggu bekalan makanan global sekali gus mencetuskan kebimbangan krisis kebuluran yang meluas.

“Peperangan di Ukraine boleh membawa krisis kebuluran global ke tahap melebihi apa yang pernah kita lihat sebelum ini,” Ketua Program Makanan Dunia, David Beasley pada Mac.

Rusia dan Ukraine adalah penyumbang terbesar bijirin untuk bekalan global termasuk roti, gandum, minyak sayuran dan jagung.

Kedua-dua negara ini menyumbang 30 peratus daripada perdagangan gandum global.

Perang telah menyebabkan harga komoditi melonjak dengan harga minyak bunga matahari dan colza meningkat 40 peratus di Eropah dalam tempoh dua bulan.

Pergolakan pasaran dunia semakin meruncing apabila sesetengah negara mempertimbangkan untuk mengurangkan eksport dalam memastikan bekalan domestik mencukupi.

Keputusan Indonesia baru-baru ini untuk menggantung eksport minyak sawit bagi menghadapi kekurangan bekalan dalam negera telah mendorong harga minyak sayuran melonjak ke paras tertinggi baharu.

Terdapat juga spekulasi bahawa India, pengeluar gandum nombor dua dunia yang sedang dilanda gelombang haba terburuk dalam sejarah negara itu, akan menyekat eksport bijirin.

Namun begitu, khabar angin tersebut telah dinafikan oleh New Delhi.

Bagaimanapun, tiada jaminan ia tidak akan berlaku kerana Indonesia dan India tidak termasuk dalam senarai 51 negara anggota WTO yang menandatangani kenyataan jaminan bekalan.

Dua negara pertanian besar seperti Brazil dan Argentina juga memilih untuk tidak menyertai dokumen perjanjian tersebut.

Negara-negara yang terlibat berjanji untuk bekerjasama untuk memastikan makanan yang mencukupi, selamat, berpatutan dan berkhasiat tersedia untuk semua orang pada setiap masa dan berikrar bagi memastikan pasaran makanan dan pertanian antarabangsa mereka kekal ‘terbuka’. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI