fbpx

Litar Terengganu bawa tuah buat Azroy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZROY (depan) berjaya meraih kemenangan kelas perlumbaan CP150 Pusingan 4 Kejuaraan Cub Prix Malaysia di Terengganu hari ini.

KUALA LUMPUR – Pelumba muda negara, Azroy Hakeem Anuar menyempurnakan misinya dengan mudah apabila bergelar juara pada saingan Pusingan 4 Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas di Litar Permotoran Terengganu hari ini.

Pelumba pasukan Idemitsu Honda Yuzy Racing itu sekali lagi mempertahankan kejuaraannya di litar yang sama dalam kelas CP150 apabila memenangi perlumbaan akhir dengan catatan masa 16 minit 40.336 saat (s).

Ternyata, litar sepanjang 1.371 kilometer itu sememangnya gelanggang kegemaran pelumba berasal dari Selangor itu selepas turut bergelar juara pada edisi tahun lalu.

Semuanya berjalan lancar buat Azroy pada saingan kali ini, bermula daripada sesi kelayakan yang menyaksikannya dia muncul pelumba terpantas semalam.

Hari ini, dia meneruskan rentak cemerlang bagi mengotakan janjinya untuk terus berada di podium kemenangan.

 “Alhamdulillah, semuanya berada dalam keadaan terbaik hari ini. Keadaan jentera juga mantap selain perasaan positif untuk memimpin perlumbaan. 

“Semuanya berjalan lancar dan saya gembira serta berterima kasih kepada seluruh krew pasukan yang telah bekerja keras untuk meraih kejayaan ini,” jelas Azroy.

Dengan kemenangan itu, Azroy kini selesa memimpin kedudukan keseluruhan dengan meraih 81 mata, diikuti Helmi Azman yang sudah mengumpul 66 mata.

Tempat kedua perlumbaan akhir kelas CP150 hari ini menjadi milik pelumba pasukan Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing, Mohd. Aiman Tahiruddin dengan merekod masa 16 minit 41.346s.

Tempat ketiga menjadi milik Md. Helmi Azman dari pasukan HI REV SCK Honda Racing selepas mencatat masa 16 minit 43.825s.

AZROY (tengah) bergambar bersama pemenang tempat kedua, Aiman (kiri) dan Helmi (kanan) yang meraih tempat ketiga pada perlumbaan di Litar Permotoran Terengganu hari ini.

Kelas CP125 pula menyaksikan kebangkitan juara keseluruhan kategori Wira musim lalu, Mohd. Aliff Danial Md. Asri yang kini menggalas cabaran pasukan Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor.

Aliff muncul juara kelas yang baharu diperkenalkan musim ini dengan catatan masa 13 minit 06.521s.

Tempat kedua dan ketiga masing-masingnya menjadi milik Md .Adib Rosley (IPONE Yamaha YYPANG Racing Team) dan  Mohd. Hafiza Rofa (ONEXOX TKKR SAG Team).

Selepas ini, Litar Lumba Tangkak, Johor akan menjadi destinasi Pusingan 5 yang akan berlangsung pada 10 dan 11 Oktober depan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI