KOTA BHARU – Umat Islam yang keliru berhubung penjualan produk makanan berasaskan penawar dan sunnah yang berada di pasaran boleh merujuk kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, melihat daripada sudut pengguna, jualan produk itu boleh berunsur penipuan sekiranya ada menyalahi peraturan.
“Oeh itu, kita nasihatkan pengguna yang keliru atau ragu-ragu untuk membeli produk berupa makanan penawar dan sunnah supaya merujuk dan membuat laporan kepada KPDNHEP.
“Apabila ada produk-produk itu, ia secara tidak langsung akan menjejaskan imej produk,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Parlimen Pengkalan Chepa di sini hari ini.
Ahmad Marzuk yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa diminta mengulas mengenai laporan Persatuan Ulama Malaysia yang menganggap penjualan produk yang dilabel dan dipromosikan sebagai makanan penawar atau sunnah boleh mencetuskan kekeliruan dan seterusnya mewujudkan unsur penipuan kepada pengguna
Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berkata, semua pengusaha produk sama ada kesihatan atau kecantikan perlu memahami setiap produk berkenaan sebelum memasarkan produk keluaran masing-masing.
Katanya, setiap produk yang dijual juga perlu mempunyai kelulusan Kementerian Kesihatan supaya tiada kesan sampingan selain perlu menitikberatkan aspek halal. – KOSMO! ONLINE