fbpx

Nelayan dikhuatiri lemas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
Zulkifli

Oleh OTHMAN YAHAYA

SUNGAI PETANI – Seorang nelayan berdepan detik cemas apabila bot fiber dinaiki bersama adiknya dilanggar sebuah bot fiber lain yang tidak dikenali di Kuala Segantang Garam, dekat sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, nelayan, Jaafar Mohamad, 57, terselamat manakala adiknya, Zulkifli, 52, terjatuh ke dalam sungai sebelum hilang dibawa arus.

Menurut Jaafar, ketika kejadian, adiknya mengemudi bot yang dalam perjalanan pulang ke jeti di Kampung Kuala Segantang Garam selepas menjual udang di Tanjung Dawai.

“Ketika berada kira-kira 100 meter dari jeti, saya terdengar deruman enjin yang kuat dari arah bertentangan sebelum tiba-tiba muncul sebuah bot yang terus melanggar bahagian belakang bot dinaiki kami,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Katanya, dia yang duduk di bahagian hadapan bot terjatuh ke lantai, manakala adiknya tercampak ke dalam sungai.

“Bot berpusing beberapa kali dan saya kemudiannya merangkak mencapai kemudi enjin sebelum berjaya menstabilkan kembali bot.

“Saya terus mencari adik di kawasan sekitar dan selepas hampir sejam gagal menemuinya, saya kembali ke jeti dan membuat laporan polis di Balai Polis Merbok,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal berkata, pihaknya dengan kerjasama Pasukan Polis Marin, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menggerakkan usaha mencari mangsa bermula pukul 10.45 malam tadi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI