SKUAD badminton lelaki negara memiliki peluang cerah untuk menamatkan kemarau kejuaraan selama 30 tahun dengan membawa pulang trofi kemenangan pada saingan Piala Thomas 2022 yang berlangsung di Bangkok, Thailand.
Keyakinan itu dilaungkan legenda badminton tanah air, Datuk Rashid Sidek yang menganggap pasukan kali ini adalah antara skuad terbaik pada kejohanan tersebut yang akan bermula esok.
Kejayaan perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia muncul juara pada Kejohanan Badminton Asia (BAC) minggu lalu turut dilihat mampu menjadi pembakar semangat buat Malaysia mendapatkan mata pertama.
“Saya lihat saingan kali ini lebih terbuka kerana tidak ada satu pasukan pun yang memiliki kekuatan serba lengkap. Jika dilihat China, rata-ratanya adalah pemain baharu selain Jepun yang dilihat tidak konsisten termasuk perseorangan utama, Kento Momota.
“Denmark pula memiliki kekuatan seimbang tetapi masih boleh ditewaskan, manakala Indonesia agak bergelut dalam acara perseorangan walaupun ada kelebihan menerusi beregu lelaki,” katanya yang merupakan anggota skuad juara Piala Thomas 1992.
Selain Zii Jia, kehadiran tiga beregu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin dijangka mampu memberi kelebihan buat Malaysia.
Rashid juga percaya Liew Daren dan Ng Tze Yong yang dijangka turun sebagai perseorangan kedua dan ketiga mampu untuk melakar kejutan sekiranya diturunkan dalam perlawanan nanti.
“Walaupun ranking mereka jauh tetapi kita perlu beri sokongan dan semangat kepada mereka. Daren adalah pemain yang sangat berpengalaman, manakala Tze Yong juga pernah beraksi dalam saingan Piala Thomas tahun lalu,” ujarnya.
Sebagai rekod, sejak memenangi Piala Thomas pada 1992, pencapaian terbaik Malaysia adalah muncul naib juara sebanyak empat kali, iaitu pada edisi 1994 di Jakarta diikuti Hong Kong (1998), Guangzhou (2002) serta New Delhi (2014).