WALAUPUN sering mendapat pujian ramai pihak sepanjang saingan Liga Malaysia (Liga M), penjaga gol Terengganu FC, Muhammad Rahadiazli Rahalim terpaksa menjadi ‘penonton’ kepada cabaran skuad bawah 23 tahun (B-23) pada Sukan SEA apabila gagal menembusi senarai akhir 20 pemain.
Bagaimanapun, nama Rahadiazli diletakkan dalam senarai bersedia dan peluangnya masih lagi terbuka sekiranya dua lagi penjaga gol, Azri Ab. Ghani dan Firdaus Irman Mohd. Fadhil terpaksa digugurkan jika diuji positif Covid-19 sepanjang saingan berlangsung.
Daripada senarai 20 pemain yang mendapat kepercayaan Brad Maloney, lima merupakan anggota skuad B-22 kebangsaan pada Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina iaitu Quentin Cheng, Harith Haiqal Adam Afkar, Nik Akif Syahiran Nik Mat, Luqman Hakim Shamsudin dan Hadi Fayyadh Abdul Razak.
Dengan komitmen yang diserlahkan oleh semua pemain yang dibawa ke Hanoi, Maloney mengakui berdepan kesukaran untuk membuat pilihan, namun peraturan pertandingan hanya membenarkan maksimum 20 pemain disenaraikan.
“Satu keputusan sukar kerana kesemua pemain telah memberikan komitmen tinggi sepanjang kami bersama dalam sesi latihan dan saya cukup berpuas hati kerana kesemua pemain memberikan kerjasama cukup baik.
“Ia bukan mudah untuk saya, tetapi saya harus membuat keputusan kerana peraturan hanya membenarkan 20 pemain sahaja didaftarkan,” kata Maloney.
Malaysia yang berada dalam Kumpulan B akan memulakan pemburuan ‘ibu segala pingat emas’ menentang Thailand di Stadium Thien Truong, Nam Dinh hari ini.
Misi skuad negara untuk menebus kekecewaan gagal melepasi peringkat kumpulan pada edisi 2019 diteruskan dengan menentang Laos pada 11 Mei, Singapura (14 Mei) dan Kemboja (16 Mei).