MOSCOW – Seorang wanita Russia berdepan pendakwaan setelah menjahit mulutnya sendiri sebagai protes mengenai bantahan terhadap perang di Ukraine, lapor akhbar Daily Star semalam.
Polis menahan Nadezhda Sayfutdinova di bandar Yekaterinburg menggunakan kekerasan sebelum mengurungnya di wad psikiatri.
Sayfutdinova berjaya mengelak daripada dituduh mengalami masalah mental tetapi dijangkakan menghadapi pendakwaan kerana memburuk-burukkan angkatan tentera Russia.
Aktivis berusia dalam lingkungan 30-an itu telah menjahit mulutnya sendiri sebelum turun ke jalan-jalan di bandar untuk menyertai protes.
“Anda tidak boleh berdiam diri!!! Harga adalah kesedaran kita. Perang bukan keamanan!!! Kebebasan bukan perhambaan!!! Kejahilan bukan kuasa!!!’’ demikian tulisan pada papan tanda yang diangkat wanita berkenaan.
Dia memberitahu wakil kumpulan hak asasi manusia, OVD-Info bahawa mulutnya benar-benar dijahit menggunakan jarum dan benang.
“Sebuah ambulans dipanggil ke balai polis untuk memeriksa kecederaan dan membuang jahitan tersebut. Saya menjahitnya sendiri,’’ katanya.
Sayfutdinova dibawa ke klinik trauma sebelum dipindahkan ke klinik psikiatri di bandar itu. Peguamnya, Fedor Akchermyshev dan OVD-Info meminta sokongan orang ramai untuk mendapatkan pembebasannya.
Dia kemudian dibebaskan selepas bantahan daripada orang ramai. – Agensi