fbpx

Syawal paling ‘indah’ buat rakyat Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI

SELEPAS dua tahun tidak beraya ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), rakyat negara ini buat pertama kalinya dikatakan ‘terkejut’ dan tergamam apabila Aidilfitri kali ini disambut pada hari Isnin iaitu pada 2 Mei 2022.

Sebelum itu, ramai meramalkan Aidilfitri bakal disambut pada hari Selasa iaitu 3 Mei 2022, namun pengumuman tarikh Aidilfitri pada malam 1 Mei 2022 oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad menyebabkan rata-rata tidak senang duduk dibuatnya.

Pengumuman berkenaan dibuat selepas aktiviti cerapan anak bulan dilaksanakan di 29 lokasi di seluruh negara, pada petang hari tersebut.

Sebaik pengumuman dibuat, keadaan terus bertukar kelam kabut, apabila ramai belum membuat persiapan memasak juadah raya, apa lagi mengemas rumah.

Ekoran situasi itu, maka terhasillah lemang, ketupat dan rendang ‘segera’ yang dibuat secara terkejar-kejar, malah ada yang terpaksa bersengkang mata untuk menyiapkan juadah sehingga pukul 5 pagi.

Susulan pengumuman itu juga, banyak pasar raya dan pasar menjual barangan basah mengambil peluang menginjak operasi sehingga ke pukul 12 malam.

Malahan mereka yang berada di perantauan yang merancang pulang ke kampung halaman pada hari Isnin dengan ken­deraan masing-masing terpaksa membuat keputusan memecut pulang pada malam raya.

Akibatnya, jalan-jalan utama menjadi sesak apabila kenderaan bertambah secara mengejut.

Apa yang menyedihkan, apabila ada dalam kalangan perantau yang terpaksa menyambut Aidilfitri di ibu kota apabila tiket yang dibeli tidak dibenarkan bertukar tarikh.

Maka ramailah yang menangis di pagi raya mengenangkan nasib diri masing-masing.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Balai Cerap Al-Khawarizmi melalui laman Facebook Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), kaedah penetapan awal bulan Islam di negara ini adalah secara imkanurukyah (Rukyah dan Hisab) yang mana Rukyah dilakukan pada petang 29 Ramadan 1443H di lokasi ditetapkan di seluruh Malaysia.

“Hasil keputusan Rukyah akan dilaporkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada malam 29 Ramadan 1443H dan keputusan kenampakan Hilal akan diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja,” katanya.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Hakimah Mohd. Yusoff, proses pengumuman tarikh Aidilfitri dilaksanakan sejak sekian lama dan me­nyerahkan tanggungjawab itu kepada pihak berautoriti.

Jelasnya, Malaysia menggunakan kaedah Rukyah dan Hisab dalam menentukan awal bulan hijri termasuk tarikh awal puasa, Aidilfitri dan Aidiladha selaras dengan kehendak syarak dan mengikut kaedah ilmu falak serta astronomi yang dipersetujui semua negeri.

Justeru itu, Jakim menasihatkan semua pihak supaya menghormati proses penentuan rasmi tarikh hari raya di negara ini.

Secara tuntasnya, umat Islam di negara ini perlu menjadikan kisah ‘kelam-kabut’ menyambut Aidilfitri kali ini sebagai pengajaran terutamanya untuk membuat persiapan lebih awal.

Jadikan kisah kali ini sebagai teladan, buatlah persiapan dan rancanglah lebih awal semoga raya akan datang lebih sempurna dan tidak dihantui rasa terkejut lagi. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI