fbpx

Ambil anak angkat, Iqbal Zulkefli terkilan dituduh terlibat pemerdagangan manusia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IQBAL mengambil seorang anak angkat lelaki yang baru berusia tujuh hari menerusi perkongsian dalam Instagramnya pada 1 Mei lalu.

PETALING JAYA – Perkongsian usahawan sensasi Ahmad Iqbal Zulkefli yang mengambil seorang anak angkat lelaki baru-baru ini rupa-rupanya kurang disenangi sesetengah pihak.

Hal ini kerana ada yang mendakwa, sejak kebelakangan ini sangat mudah berlakunya proses mengambil anak angkat dan secara tidak langsung situasi tersebut tidak ubah seperti aktiviti pemerdagangan manusia.

Iqbal, 28, menerusi InstaStory berkongsi tangkap layar komen seorang netizen yang ditinggalkan dalam hantaran Facebook sebuah portal hiburan.

“Sekarang ini mudah sangat ambil anak angkat. Dah macam pemerdagangan manusia secara halal pula,” tulisnya.

Nyata tersinggung dengan kenyataan dikeluarkan lelaki terbabit, Iqbal yang juga merupakan penyanyi tampil meluahkan kekecewaan atas tuduhan tidak berasas tersebut.

Katanya, dia seorang yang jarang terasa hati dengan komen netizen, namun apa yang dikatakan lelaki itu cukup mengguris hatinya.

“Jarang saya ambil hati tetapi kali ini saya berkecil hati baca komen, ada yang mengatakan ini sebuah pemerdagangan manusia!” katanya.

Tambah Iqbal lagi, dia tidak kisah andai netizen menghentam dirinya dengan apa jua bentuk kritikan pedas, tetapi jangan sesekali mereka berkata tidak baik terhadap anak angkatnya.

“Untuk netizen, katalah, hinalah apa sahaja terhadap saya, saya tidak kisah.

“Tetapi jangan sesekali keluarkan perkataan tidak baik terhadap anak saya. Itu amat menyakitkan hati saya,” katanya lagi.

Sehari sebelum negara menyambut Syawal pada Isnin lalu, Iqbal berkongsi tentang perkhabaran gembira apabila doanya untuk memiliki seorang anak akhirnya termakbul selepas dia mengambil seorang anak angkat lelaki berusia tujuh hari.

Bagaimanapun, peserta Big Stage 2022 itu berkata, buat masa ini dia tidak boleh mendedahkan wajah anak lelakinya itu untuk tatapan umum.

Meskipun tidak mendedahkan wajah bayi tersebut, Iqbal memberi bayangan bahawa anak angkatnya itu berkulit putih, berhidung mancung dan berambut lebat.

Setakat ini, Iqbal tidak memperincikan proses pengambilan dan kisah di sebalik penyerahan bayi tersebut dari ibu kandungnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI