JEMPOL – Dua beranak maut dalam nahas membabitkan lima buah kenderaan termasuk lori di Jalan Besar Felda Palong 4, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.50 malam itu, penumpang belakang kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza iaitu Mohd Azharruddin Azmee, 34, dan ibunya, Nor Rohaini Masri, 62, masing-masing cedera di kepala disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Difahamkan, mangsa sekeluarga dalam perjalanan pulang ke rumah mereka dari Gemas ke Palong 12.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, kemalangan membabitkan empat buah kenderaan pelbagai guna (MPV) iaitu dua Proton Exora dan dua Toyota Avanza serta sebuah lori jenis Nissan UD.
Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, kemalangan berlaku apabila sebuah Proton Exora yang dipandu oleh wanita berusia 35 tahun dalam perjalanan pulang beraya dari Dungun, Terangganu dan hendak balik ke Melaka melalui jalan Palong.
“Setiba di tempat kejadian, pemandu MPV berkenaan dipercayai mengantuk dan keletihan telah hilang kawalan lalu melanggar tayar belakang sebelah kanan lori yang datang dari arah bertentangan.
“Proton Exora berkenaan kemudiannya telah berlanggar dengan tiga buah lagi kenderaan iaitu dua buah Toyota Avanza dan sebuah lagi Proton Exora dari arah bertentangan,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.-KOSMO! ONLINE