MOSCOW — Sebarang kenderaan milik Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang tiba di Ukraine bersama senjata dan barangan keperluan untuk angkatan bersenjata Ukraine adalah dianggap sebagai sasaran yang sah untuk dimusnahkan, demikian menurut Menteri Pertahanan Russia, Sergei Shoigu kelmarin.
Shoigu mengeluarkan kenyataan tegas itu semasa bermesyuarat dengan pegawai-pegawai tinggi pertahanan Russia. Katanya, beliau maklum bahawa Amerika Syarikat dan pakatan NATO berterusan membekalkan senjata kepada Ukraine.
“Tentera Russia bersama militia Lugansk dan Donetsk kini menguasai lebih banyak kawasan di rantau Donbass, timur Ukraine dan akan terus melaksanakan tanggungjawab mereka,” katanya.
Berhubung isu pemindahan orang awam dari zon pertempuran, Shoigu memberitahu bahawa koridor kemanusiaan dibuka setiap hari sambil menambah, angkatan bersenjata Russia secara aktif menyediakan bantuan kemanusiaan kepada penduduk yang tinggal di bandar-bandar yang dikuasai tentera Moscow.
Dalam perkembangan sama, gencatan senjata unilateral yang diumumkan oleh Russia melibatkan kilang besi di bandar Mariupol akan bermula hari ini (waktu Malaysia) bagi membolehkan orang awam melarikan diri walaupun tentera Ukraine berikrar akan berjuang hingga ke titisan darah terakhir.
Gencatan senjata tiga hari di kilang besi Azovstal itu diumumkan ketika negara-negara anggota Kesatuan Eropah membincangkan cadangan mengharamkan import minyak Russia dalam langkah paling tegas blok berkenaan berhubung pencerobohan Moscow ke atas negara jirannya itu.
Kumpulan terakhir tentera Ukraine masih berkubu di kilang besi Azovstal. Datuk Bandar Mariupol, Vadym Boichenko berkata, pertempuran sengit berlaku kelmari.
Russia melancarkan serangan menggunakan artileri berat, kereta kebal, pesawat dan kapal perang di perairan Mariupol, katanya kepada stesen televisyen Ukraine.
“Terdapat ratusan orang awam yang berlindung di kilang itu. Terdapat kanak-kanak yang menanti untuk diselamatkan. Bilangan kanak-kanak yang berlindung adalah lebih 30 orang,” katanya.
Perang Russia-Ukraine yang tercetus lewat Februari lalu menyebabkan beribu-ribu orang terbunuh, manakala lebih 13 juta penduduk menjadi pelarian. – Agensi/AFP