PERANG Rusia-Ukraine sudah berlanjutan lebih dua bulan sejak Presiden Vladimir Putin mengarahkan tenteranya menjalankan operasi ketenteraan khas di Ukraine.
Meskipun sebelum ini Moscow dan Kiev ada mengadakan beberapa siri rundingan damai yang dilaporkan menunjukkan perkembangan positif, perkembangan perang dalam beberapa minggu ini dilihat tidak begitu meyakinkan.
Rakyat Ukraine terus menjadi mangsa akibat daripada peperangan yang semakin buruk ketika Barat dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) berterusan menghantar bantuan peralatan ketenteraan kepada Ukraine.
Daripada bekalan senjata ringan dan pertahanan seperti peluru berpandu antikereta kebal serta antipesawat, Barat kini menyediakan senjata yang lebih berat buat Ukraine termasuk kereta kebal, helikopter, pesawat dan senjata artileri jarak jauh.
Keadaan ini seterusnya menyebabkan Rusia menjadi semakin terdesak, lantas mengeluarkan ancaman untuk menggunakan senjata nuklear sekiranya Barat terus-menerus membantu Ukraine.
Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov minggu lepas menuduh pemimpin-pemimpin Barat mencetuskan Perang Dunia Ketiga dengan membekalkan senjata kepada Ukraine.
“Risiko tercetusnya perang nuklear sangat ketara. Saya tidak mahu bahaya yang ditimbulkan kelihatan seperti telah dirancang, tetapi secara serius, ia (perang nuklear) adalah nyata dan tidak boleh dipandang remeh,” tegas beliau.
Menurut Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Dr. Azmi Hassan, Putin kini semakin terdesak kerana beliau berada dalam satu keadaan, di mana tidak banyak ‘pergerakan’ boleh dilakukan.
“Bantuan Barat terhadap Ukraine termasuk peralatan ketenteraan yang canggih dan besar serta sekatan ekonomi ke atas Rusia memaksa Putin mengeluarkan amaran senjata nuklear.
“Namun, seluruh dunia perlu memandang serius ancaman senjata nuklear oleh Rusia kerana Putin terdesak untuk menghentikan Barat daripada terus menyalurkan senjata kepada Ukraine.
“Sekiranya Rusia benar-benar melancarkan senjata nuklear, maka perang berskala lebih besar iaitu Perang Dunia Ketiga akan meletus di Eropah Timur,” katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai kesan Perang Dunia Ketiga terhadap Malaysia, Azmi berkata, negara ini berisiko untuk turut terkesan, namun tidak secara langsung berkaitan bahaya senjata nuklear.
“Dari segi bahaya senjata nuklear, Malaysia mungkin tidak terjejas secara langsung kerana dari sudut geografi, negara ini terletak jauh dengan Eropah Timur.
“Namun, meskipun Malaysia mengambil sikap berkecuali, kita akan terjejas secara langsung dari segi politik, geopolitik dan ekonomi.
“Bukan sahaja Malaysia, bahkan negara yang paling jauh dengan Ukraine pun akan turut sama terjejas sekiranya Perang Dunia Ketiga meletus,” katanya.
Perang Rusia-Ukraine kini telahpun memberi kesan kepada harga minyak mentah dunia akibat sekatan ke atas minyak Rusia selain turut melonjakkan harga makanan di kebanyakan rantau ekoran gangguan kepada rantaian bekalan dari Ukraine.
Justeru, bersediakah kita menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya konflik di Eropah Timur itu menjadi semakin serius dan mula memberi kesan kepada negara ini? -KOSMO! ONLINE