CASABLANCA, MAGHRIBI – Bayi kembar sembilan dari Mali yang menggemparkan dunia pada tahun lalu menyambut ulang tahun kelahiran pertama mereka dalam keadaan sihat, lapor akhbar Saudi Gazette kelmarin.
Menurut bapa bayi-bayi tersebut, Abdelkader Arby, isterinya, Halima Cisse juga berada dalam keadaan baik.
“Bayi-bayi itu sudah boleh merangkak. Ada antara mereka yang boleh duduk dan berjalan sambil berpaut pada sesuatu.
“Ia tidak mudah (untuk membesarkan mereka) dan kadangkala agak meletihkan. Namun, apabila melihatkan keadaan mereka yang sihat, semua kepenatan itu hilang,” katanya.
Bayi kembar sembilan itu memecahkan Guinness World Records bagi bilangan bayi yang paling ramai hidup selepas dilahirkan.
Sejurus melahirkan anak-anaknya pada 4 Mei 2021 menerusi kaedah pembedahan, Halima diterbangkan ke Maghribi oleh kerajaan Mali untuk mendapatkan penjagaan pakar.
Sembilan bayi itu yang terdiri daripada lima anak perempuan dan empat lelaki, dilahirkan ketika usia kandungan 30 minggu, demikian menurut Menteri Kesihatan Mali, Fanta Siby.
Berat mereka ketika dilahirkan adalah antara 500 gram hingga 1 kilogram.
Bayi lelaki bernama Mohammed VI, Oumar, Elhadji dan Bah, manakala bayi perempuan diberi nama Kadidia, Fatouma, Hawa, Adama dan Oumou. – Agensi