Oleh KHAIRUL MOHD. ALI
KULAI – Seorang pemilik kilang dan seorang pekerja warga Indonesia direman selama tiga hari bermula hari ini kerana memasang bendera Malaysia secara terbalik di sebuah kilang plastik di Kawasan Perindustrian Senai, di sini.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret, Sharifah Maleeha Syed Hussin di Mahkamah Majistret Kulai, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, pihaknya membuat serbuan ke premis berkenaan pada pukul 2.50 petang selepas mendapat aduan orang awam yang menularkan perkara itu ke media sosial.
“Ketika pemeriksaan dibuat, pemilik kilang berusia 56 tahun itu mengaku mengarahkan pekerja warga Indonesia berusia 23 tahun untuk menukar bendera Malaysia yang telah lusuh kepada bendera baharu.
“Pekerja yang baharu bekerja selama tiga bulan itu mengaku memasang bendera berkenaan, manakala pemilik kilang tidak membuat pemantauan semula sebelum gambar bendera terbalik itu tular di media sosial,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Sehubungan itu, kedua-dua suspek ditahan reman manakala kes disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Penggunaan Tidak Wajar) Pindaan 2017 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.
Tambah Beng Yeow, pihaknya turut merampas sehelai bendera Malaysia di kilang yang telah beroperasi sejak beberapa tahun itu.
“Insiden ini melibatkan penghinaan terhadap bendera Malaysia sama ada dipasang atau digantung secara terbalik atau digunakan bagi maksud yg tidak sewajarnya.-K! ONLINE