fbpx

Kemanisan Aidilfitri Yonny, Ariff

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ARIFF (kiri) dan Yonny masing-masing teruja pertama kali menyambut lebaran bersama isteri tercinta.

DUA tahun ‘dipenjara’ dan tidak dapat pulang ke kampung beraya bersama keluarga tersayang membuatkan Hari Raya Aidilfitri yang ditunggu-tunggu saban tahun terasa kurang serinya.

Berbeza dengan tahun ini, kebenaran pulang ke kampung untuk beraya tanpa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti sebelumnya membuatkan ramai menarik nafas lega seraya senyuman paling manis terukir di bibir.

Begitu juga dengan golongan selebriti yang turut bersyukur dan teruja apabila pulang ke kampung masing-masing bagi mengeratkan semula silaturahim yang kian lama terjalin.

Lebih mengujakan jika tahun ini merupakan tahun pertama seseorang itu bergelar suami atau isteri sekali gus lebaran yang disambut pasti meninggalkan 1001 kenangan manis.

Penyanyi popular dan komposer muda Yonnyboii serta Ariff Bahran antara Budak Baru Nak Up (BBNU) yang merasai pengalaman pertama beraya sebagai seorang suami bersama isteri tercinta.

Yonnyboii teruja raya di kampung isteri

PENGALAMAN beraya di kampung halaman isteri tercinta buat pertama kali ternyata meninggalkan kenangan buat penyanyi rap popular, Yonnyboii pada tahun ini.

Paling membuatkan dirinya teruja apabila tahun ini juga merupakan kali pertama dia menyambut hari lebaran dengan memegang status sebagai suami orang.

Tuturnya yang terkenal dengan lagu Salahku, sambutan hari raya di kampung isterinya, Nik Nazira Nik Narriman di Kota Bharu, Kelantan sememangnya berbeza dengan cara diraikannya sebelum ini.

PASANGAN ini meraikan hari lebaran dengan enam pasang baju raya.

“Sebelum ini, saya selalunya menyambut raya di ibu kota, memang berbeza cara sambutan di Pantai Timur.

“Kemeriahannya juga lain. Memang satu pengalaman baharu untuk saya pada tahun ini,” katanya kepada Hib Glam baru-baru ini.

Raya tetap gemuruh

Akui pemilik nama penuh Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, 24, itu, dia bagaimanapun tidak terlepas dari berasa gemuruh ketika pertama kali pulang ke kampung halaman isteri yang digelar Nina.

Ujarnya, pelbagai jangkaan yang bermain dalam benak fikirannya, namun semuanya berubah selepas dia disambut meriah di sana.

“Tipulah tak rasa gemuruh sebab ini pertama kali pulang ke kampung halaman isteri.

“Namun, semua keserabutan dalam fikiran terus bertukar tenang kerana kehadiran saya disambut meriah oleh ahli keluarga Nina,” ujarnya.

Tidak lupa untuk berkongsi rezeki dengan ahli keluarga, Yonny berkata, bajet pemberian duit raya pada tahun ini bertambah tiga kali ganda.

Bagaimanapun, dia tidak memandang hal tersebut sebagai satu beban kerana berkongsi rezeki membuatkan dia gembira kerana dapat melihat senyuman manis dalam kalangan ahli keluarga terutama isteri dan ibu tersayang.

“Jika nak cakap tentang duit raya, tahun ini jumlah naik triple (tiga kali ganda) berbanding sebelum ini.

“Bagi saya tidak salah memberi lebih kerana saya percaya, dalam rezeki kita, ada hak orang lain yang layak merasainya,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Yonny juga mengakui kebahagiaan beraya sebagai seorang suami akhirnya dalam dakapannya.

“Kadang-kadang rasa tak percaya tahun ini beraya sebagai suami, tanggungjawab pun lebih besar.

“Ramadan dan Syawal pada tahun ini memang berbeza. Syukur diberi peluang oleh Tuhan untuk merasainya pada usia muda,” katanya yang mendirikan rumah tangga sekitar November tahun lalu.

YONNY dan Nina mengakui lebaran tahun ini terasa berbeza lebih-lebih lagi dengan status mereka sebagai suami isteri. – FARIZWAN HASBULLAH & SHIDDIEQIIN ZON

Jamu hidangan raya Pantai Timur buat suami

Sementara itu, Nina pula seronok kerana akhirnya dapat membawa suami tersayang pulang beraya sekali gus merasai pengalaman menyambut lebaran di Kelantan.

Antara momen yang paling dinanti-nantikannya pada lebaran kali ini ialah menjamu suami dengan menu tradisi Pantai Timur.

“Seronoknya bukan kepalang apabila Yonny setuju nak balik beraya di kampung saya pada hari raya pertama.

“Paling gembira dapat menjamu suami dengan masakan tradisi hari raya keluarga saya iaitu ayam masak kuzi yang dijamu dengan roti.

“Nasib baik suami jenis tidak cerewet dan mencuba apa sahaja makanan yang dihidangkan kepadanya,” kongsinya.

Selain makanan, Nina memberitahu momen bersalaman dengan suami pada pagi raya juga antara yang paling ditunggunya.

“Sebelum ini hanya salam tangan ibu ayah tetapi tahun ini mencium tangan suami pula. Sebaknya terasa lain sangat,” katanya lagi.

Kebahagiaan berganda Ariff Bahran

TAHUN 2022 pasti menjadi momen yang pasti akan diingati dan tidak akan dilupakan Ariff Bahran.

Manakan tidak, jika sebelum ini selama 24 tahun Ariff beraya bersama keluarga, tetapi kali ini jauh berbeza apabila buat pertama kali menyambut lebaran bersama isteri tersayang.

Ditemui ketika sesi fotografi khas Aidilfitri, Ariff dan isteri tidak lekang dengan senyuman manis di bibir saat bertemu pada sesi fotografi di Pejabat Media Mulia baru-baru ini.

BAHRAN dan isteri tidak perlu bersusah payah apatah lagi pening kepala bergaduh untuk menentukan lokasi pulang berhari raya kerana kampung masing-masing cukup dekat antara satu sama lain.

Meskipun kelihatan sedikit penat kerana berpuasa pada siang hari, tetapi sesi fotografi selama hampir tiga jam berjalan dengan lancar.

Ujar Bahran, saat berpelukan bersama isteri tersayang yang dikenali sebagai Myra, dia seakan-akan masih tidak percaya kerana sudah bertukar status.

“Jujur saya kadang-kadang rasa janggal pun ada. Pelik dan seakan-akan tidak percaya pun ada.

“Dahulu kita beraya seorang diri sebab masih bujang, sekarang dah berdua bersama isteri. Sekejap betul masa berlalu,” katanya tersenyum.

Jelas Bahran lagi atau nama sebenarnya Muhammad Ariff Bahran Ahmad Azhari, sambutan raya tahun ini tidak sama dan jauh berbeza baginya dan isteri.

“Beza yang saya cuba sampaikan adalah perasaan tidak sabar melalui sendiri pengalaman pertama bergelar suami lebih-lebih lagi momen ketika pagi Syawal,” katanya.

Orang ketiga

Menyambung perbualan, Bahran yang popular menerusi lagu Kata Akhirmu itu memberitahu, bukan setakat gembira dan teruja menyambut raya sebagai suami, tetapi ada perkara lain yang membuatkannya dan isteri lebih gembira.

Meskipun ramai sudah tahu dan dapat meneka apa yang cuba disampaikan kerana tidak dapat menyorok keadaan perut isterinya yang semakin membesar, Bahran tiada pilihan lain selain terpaksa mengumumkannya secara terbuka.

Kata Bahran, dia sendiri tidak menyangka diberikan rezeki bakal menyambut anak sulung selepas Aidilfitri nanti meskipun tanpa dirancang.

“Saya dan isteri terkejut apabila doktor kata kami bakal jadi ibu dan bapa tidak lama lagi.

“Jadi bagi saya, Aidilfitri tahun ini bagaikan rezeki berganda buat saya dan isteri. Tidak setakat disatukan sebagai suami isteri, kami juga bakal jadi ibu bapa tidak lama lagi.

“Alhamdulillah dengan rezeki yang Allah kurniakan ini. Doakan anak yang bakal dilahirkan Julai nanti sihat. Doakan juga untuk saya dan isteri,” katanya.

KEGEMBIRAAN berganda diterima Ariff Bahran tahun ini kerana dia dan isteri bakal bergelar ibu bapa Julai nanti.

Diaju mengenai lokasi perayaan tahun ini, Bahran dan isteri sama-sama menjawab soalan tersebut dengan gelak tawa sekali gus memecah kesunyian hujung minggu pejabat yang tidak ramai pekerja seperti kebiasaan.

Beritahu Bahran, dia dan isteri tidak perlu bersusah payah apatah lagi pening kepala bergaduh untuk menentukan lokasi pulang berhari raya kerana kampung masing-masing cukup dekat antara satu sama lain.

“Keluarga saya semua memang di Petaling Jaya, sementara keluarga isteri pula di Subang Jaya, Selangor. Dekat bukan? Jadi tiada masalah untuk kami pilih lokasi,” ujarnya yang turut beraya di Bentong, Pahang menziarahi saudara-mara isterinya pada raya kedua.

Sebelum menutup bicara, Bahran bersyukur dan cukup teruja kerana dapat menjamu selera pelbagai jenis masakan hasil air tangan isteri tercinta.

“Myra pun tahu saya jenis suka lauk kampung dan juadah-juadah wajib yang mesti ada pada pagi raya. Jadi memang bertuahlah badan. Mungkin nanti naik lagilah berat badan saya,” ucapnya sambil berseloroh seraya menutup bicara.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI