ALOR SETAR – Tindakan dua remaja menunggang motosikal dengan melakukan aksi mengangkat tayar hadapan mengundang padah apabila mereka ditahan polis di Kulim dekat sini hari ini.
Kedua-dua mereka berusia 16 dan 18 tahun itu ditahan di rumah masing-masing di Lunas dan Padang Serai di sini.
Terdahulu, rakaman video dua penunggang motosikal mengangkat tayar hadapan motosikal secara beriringan atau ‘wheelie’ serta aksi ‘scorpion’ dimuat naik di laman Instagram oleh Adamxcepai.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kedah, Superintendan Mohd. Mahiri Hussain memberitahu, pihaknya mengesan satu video memaparkan dua lelaki menunggang motosikal dengan aksi berbahaya kira-kira pukul 8 pagi ini.
“Mereka didapati menunggang motosikal jenis Modenas Kriss dan Honda EX5 di Jalan Fasa 4 Hi-Tech dan di Jalan Nagalilit,” katanya di sini hari ini.
Jelas beliau, anggota polis Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim membuat semakan nombor pendaftaran kedua-dua motosikal tersebut dengan Jabatan Pengangkutan Jalan menggunakan alat peranti MCOPS.
“Kedua-duanya yang berusia 16 tahun merupakan pelajar sebuah sekolah menengah di sini dan seorang lagi bekerja sebagai buruh ditahan di rumah masing-masing di Kedai Nagalilit di Padang Serai dan Kampung Sungai Seluang Bawah di Lunas,” katanya. – KOSMO! ONLINE