TUMPAT – Penjawat awam di negeri ini yang bercuti sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri akan kembali bertugas seperti biasa bermula esok selepas perayaan itu disambut awal sehari daripada jangkaan iaitu pada Isnin lalu.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, ini berikutan kerajaan negeri telah meminda hari kelepasan am atau cuti umum sempena Hari Raya Aidilfitri daripada tarikh asal iaitu pada 5 Mei (Khamis) kepada 4 Mei (Rabu).
Menurutnya, jumlah cuti tiga hari yang diumumkan sebelum ini dilihat cukup mencukupi untuk menyambut Aidilfitri.
“Apabila Hari Raya Aidilfitri disambut lebih awal, kita terpaksa menariknya (cuti) menjadi tiga hari. Kerajaan juga telah mengisytihar perkara tersebut.
“Insya-Allah kerajaan akan mencari jalan terbaik untuk mengatasi masalah ini jika ia berlaku lagi pada masa hadapan,” katanya pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar Kelantan di rumahnya di Kampung Alor Pasir di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE