PETALING JAYA – Hujan lebat berserta ribut petir dan angin kencang dijangka berlaku di beberapa kawasan melibatkan tujuh negeri pagi ini sehingga pukul 10 pagi nanti.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan di laman Facebooknya berkata, cuaca tidak menentu itu dilihat tertumpu di negeri Kelantan melibatkan kawasan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai.
Selain itu, di Terengganu, ia dijangka melanda Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun.
Tambah MetMalysia, cuaca buruk itu turut diramal berlaku di Selangor melibatkan daerah Klang, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang.
“Manakala ia turut tertumpu di kesemua kawasan di Kuala Lumpur dan Putrajaya pagi ini.
“Bagi Negeri Sembilan pula, hujan lebat serta ribut petir dijangka berlaku sekitar Jelebu dan Seremban serta beberapa kawasan di Johor seperti Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, di Sarawak, ia merangkumi Kuching, Serian, Samarahan dan Betong (Pusa, Betong dan Kabong).
Semalam, sebanyak 24 buah keluarga terpaksa melupakan hasrat meraikan perayaan Aidilfitri apabila rumah mereka di sekitar kawasan Pekan Nanas, Johor dinaiki air antara dua hingga empat kaki akibat banjir kilat yang berlaku. – KOSMO! ONLINE