TOKYO – Satu kaji selidik mendapati bahawa kanak-kanak di Jepun sudah mempunyai telefon pintar seawal memasuki sekolah rendah, dengan 51.6 peratus ibu bapa mengakui memberikan peranti itu kepada anak-anak mereka, lapor akhbar Japan Today semalam.
Kadar itu meningkat 11.5 peratus daripada kaji selidik yang dilakukan pada 2019 oleh sebuah firma penyelidikan pasaran teknologi maklumat, Mobile Marketing Data (MMD) Labo.
Kajian tersebut turut mendapati bilangan kanak-kanak yang mempunyai telefon pintar sebelum usia sekolah rendah juga melonjak kepada 5.8 peratus berbanding 2.8 peratus pada 2019.
Pegawai di MMD Labo berkata, keadaan itu disebabkan oleh lebih ramai isi rumah menggunakan telefon pintar sebagai alat untuk berhubung dengan anak-anak apabila mereka pergi ke sekolah atau tempat lain.
Bagaimanapun, situasi tersebut diakui berisiko mendedahkan kanak-kanak kepada bahaya yang dikaitkan dengan penggunaan internet atau media sosial.
“Setiap keluarga perlu duduk berbincang mengenai risiko dan menetapkan peraturan dalam menggunakan telefon pintar,” kata pegawai tersebut.
Kaji selidik secara online itu berlangsung dari 21 hingga 24 Januari lalu dan melibatkan 1,888 individu lelaki serta wanita yang berusia 20 hingga 59 tahun. Mereka memberikan anak-anak telefon pintar buat pertama kali sejak 2021.
Menurut hasil kaji selidik, pelajar sekolah rendah adalah yang paling kerap mendapat telefon bimbit, seperti yang diakui oleh 28.5 peratus ibu bapa.
Ini diikuti dengan pelajar sekolah menengah, seperti yang diakui oleh 12.4 peratus ibu bapa dan pelajar universiti yang menerima daripada 1.7 peratus ibu bapa.
Sementara itu, ditanya mengenai alasan ibu bapa untuk memberikan telefon pintar, antara jawapan yang diberikan adalah permintaan anak-anak, menghadiri sekolah krem dan kelas-kelas lain serta mahu menggunakan aplikasi pesanan percuma, Line. – Agensi