SETIU – Keriangan sebuah keluarga peniaga pakaian pulang beraya berakhir tragedi apabila anak bongsu mereka maut dalam kemalangan di KM 85, Jalan Kuala Terengganu – Kota Bahru berhampiran Kampung Alor Serdang di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 6.30 pagi itu, mangsa, Muhammad Aidil Fitri Osman, 5, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian badan.
Kemalangan itu turut menyebabkan bapanya, Osman Intan, 51, dan dua kakak dan seorang abangnya berusia dalam lingkungan 14 hingga 20 tahun cedera parah.
Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, sewaktu kejadian, keluarga tersebut dikatakan dalam perjalanan untuk beraya di Kuala Nerus dari rumah mereka di Kangar, Perlis.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, van jenis Toyota Hiace dipandu ibu mangsa, Asmah Zakaria, 45, dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas ke tepi jalan.
“Van dinaiki mereka kemudiannya terjatuh ke dalam parit sehingga menyebabkannya remuk teruk,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Afandi berkata, Muhammad Aidil Fitri yang cedera parah disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Setiu di sini pada pukul 8.30 pagi.
Tambah beliau, ibu kanak-kanak itu, Asmah Zakaria, 45, dan dua lagi abang mangsa pula cedera ringan di bahagian kepala.
“Kesemua tujuh mangsa yang cedera menerima rawatan di wad hospital sama. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Nasihat saya kepada pengguna jalan raya, berehat sebentar dan jangan teruskan perjalanan sekiranya mengantuk dan penat,” katanya. – KOSMO! ONLINE