LAMBAYEQUE, PERU – Satu majlis pengebumian di Peru menjadi kecoh apabila ‘mayat’ seorang wanita secara tiba-tiba hidup semula selepas didengari mengetuk dari bahagian dalam keranda, lapor akhbar Metro UK semalam.
Dalam kejadian pada 26 April lalu, ahli keluarga Rosa Isabel Cespedes Callaca berkumpul untuk memberikan penghormatan terakhir kepada mayatnya selepas dia terlibat dalam kemalangan jalan raya.
Kemalangan tersebut turut mengorbankan abang iparnya selain dua anak saudaranya dilaporkan cedera parah. Rosa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital.
Bagaimanapun, ketika ahli keluarganya bersiap sedia untuk mengangkat keranda wanita itu, mereka terdengar bunyi yang aneh dari dalam keranda.
Ketika membuka penutup keranda, mereka terkejut apabila melihat ‘mayat’ Rosa hidup semula dan wanita itu memandang ke arah mereka dalam keadaan lemah.
“Dia membuka mata dan kelihatan berpeluh. Saya dengan pantas kembali ke pejabat dan menghubungi polis,” kata penjaga kubur, Juan Segundo Cajo.
Ahli keluarga wanita itu kemudian membawanya ke sebuah hospital di bandar Lambayeque. Doktor memberikan mesin bantuan pernafasan kepadanya sebelum keadaannya semakin merosot dan meninggal dunia beberapa jam kemudian.
Susulan kejadian itu, ahli keluarga Rosa kini menuntut jawapan daripada pihak pengurusan hospital kerana wanita itu disahkan mati pada awalnya, sedangkan dia masih hidup ketika itu.
Pihak polis juga sedang melakukan siasatan untuk mengetahui punca kepada keadaan tersebut. – Agensi