KUALA PILAH – Seorang remaja maut, manakala rakannya parah dalam kejadian kemalangan di Jalan Keretapi Lama-Juasseh, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, mangsa, iaitu penunggang motosikal, Muhammad Fareed Haikal Abd Shukor, 19, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala rakannya Ahmad Uzair Aziz, 19, mengalami kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku semasa kedua-dua mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda dalam perjalanan dari Jemapoh menghala ke Juasseh Hilir.
“Setibanya di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mereka hilang kawalan dan terbabas lalu kedua-dua mangsa tercampak ke laluan bertentangan.
“Mayat mangsa yang meninggal kemudiannya di hantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di Kuala Pilah untuk proses bedah siasat, manakala mangsa yang cedera juga dirawat di hospital sama,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.-KOSMO! ONLINE