PETALING JAYA – Penyerang muda skuad Selangor FC, Ahmad Danial Asri enggan mensia-siakan peluang apabila dipanggil menyarung jersi negara buat pertama kali selepas berada dalam senarai awal skuad bawah 23 (B-23) kebangsaan ke Sukan SEA 2021 di Vietnam nanti.
Sebagai rekod, Danial yang berusia 22 tahun telah diletakkan dalam kesebelasan utama pasukan kendalian Brad Maloney pada aksi persahabatan menentang Filipina yang berkesudahan 2-0 semalam
Kata Danial, panggilan tersebut boleh dianggap sebagai keramat serta melonjakkan motivasi secara peribadi memandangkan belum pernah menerima tugas antarabangsa bersama skuad kebangsaan dalam apa sahaja peringkat umur sebelum ini.
“Saya sangat gembira apabila dipanggil bersama skuad B-23 negara dan sudah tentu ini adalah peluang untuk saya berikan yang terbaik dengan membuktikan kemampuan serta bakat saya di hadapan barisan kejurulatihan.
“Secara jujur, saya bermula daripada bawah dan tidak pernah menerima sebarang panggilan untuk menyertai kem skuad kebangsaan tidak kira di peringkat remaja hinggalah ke skuad B-23.
“Justeru, saya akan gunakan segala pengalaman yang ada ketika bersama skuad senior Selangor sejak musim lepas,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Danial mengakui kelebihan yang ada padanya adalah kebolehan beraksi di pelbagai posisi serangan dan mungkin itu boleh memberi perspektif berbeza buat Maloney untuk membuat pilihan nanti.
“Saya tidak hanya terikat dengan posisi selaku penyerang utama sahaja, sebaliknya saya turut berkebolehan bermain di bahagian sayap yang mungkin memberi sedikit kelebihan kepada saya,” katanya.
Maloney dijangka mengumumkan senarai 20 pemain yang akan mewakili skuad negara ke Sukan SEA 2021 esok sebelum berlepas ke Hanoi pada Rabu ini. – KOSMO! ONLINE