BRUSSELS, Belgium – Kesatuan Eropah (EU) akan menyingkirkan import minyak Russia secara beransur-ansur berikutan pencerobohan Moscow ke atas Ukraine, kata beberapa sumber kepada agensi berita AFP.
“Kami perlu mengambil kira tindak balas pasaran.
“Terdapat penyelesaian untuk menamatkan kebergantungan kepada minyak Russia dan kami akhirnya akan berjaya tetapi kami perlu bertindak secara berhati-hati,” kata sumber tersebut.
Ketika ini, EU sedang menyiapkan teks sekatan import minyak Russia dan akan melaksanakan larangan itu secara berperingkat bagi membolehkan 27 negara anggotanya mempelbagaikan sumber import minyak masing-masing dalam tempoh enam hingga lapan bulan akan datang.
Keputusan itu dibuat selepas Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen menjanjikan tindak balas “tersusun” terhadap Russia.
Sebelum ini, syarikat gergasi minyak Russia, Gazprom telah menghentikan bekalan kepada Poland dan Bulgaria selepas dua negara itu enggan membuat pembayaran dengan menggunakan matawang Rusia, rouble.
EU meletakkan taruhannya kepada saluran paip baharu iaitu Gas Interconnector dari Greece ke Bulgaria yang akan membekalkan 3 bilion kubik meter gas has setahun.
Saluran paip itu yang menelan belanja AS$250 juta (RM1.08 bilion) dijadualkan beroperasi Jun ini.
Dalam pada itu, ekonomi terbesar Eropah, Jerman menyatakan bahawa negara itu mencapai kemajuan dalam menamatkan kebergantungannya kepada bahan api fosil Russia.
Berlin menjangka dapat bebas daripada import minyak mentah Russia menjelang akhir musim panas tahun ini. Jerman juga telah mengurangkan import tenaga Russia kepada 12 peratus untuk minyak, lapan peratus untuk arang batu dan 35 peratus bagi gas asli. – Agensi