BONN, JERMAN – Satu kajian mendapati bahawa pengurangan pengambilan daging dalam makanan harian sebanyak 75 peratus di peringkat global dapat membantu menangani krisis perubahan iklim, lapor laman berita Wion News kelmarin.
Kajian diterbitkan dalam jurnal Annual Review of Resource Economics itu mendedahkan perniagaan berasaskan daging memberi impak besar kepada alam sekitar.
Menurut nota penyelidik, permintaan meningkat dalam pengambilan daging bagi beberapa puluh tahun kebelakangan ini adalah melebihi keperluan diet manusia.
“Kita perlu mengurangkan pengambilan daging sebanyak separuh, iaitu menjadi 20 kilogram (kg) atau kurang bagi setiap tahun,” kata pengarang kajian dari Universiti Bonn, Profesor Dr. Matin Qaim.
Menurut majalah The Beet, bagi memahami implikasi pengambilan daging di negara-negara kaya, kajian tersebut turut menganalisis diet purata penduduk Eropah dan Amerika Utara.
Ia mendapati bahawa purata rakyat Amerika Syarikat memakan 124 kg daging setahun selain penduduk Kesatuan Eropah (EU) pula mengambil 80 kg daging setiap tahun.
Ia adalah satu kadar yang tidak mampan bagi populasi dunia yang dijangka mencecah 10 bilion orang menjelang 2040.
“Jika semua manusia memakan daging dalam kuantiti banyak seperti penduduk Eropah dan Amerika Utara, dunia pasti tidak dapat mencapai sasaran iklim global dan banyak ekosistem akan runtuh.
“Justeru, kita perlu mengurangkan pengambilan daging secara signifikan, seelok-eloknya 20 kg atau kurang,” ujarnya.
Tambah Qaim, dengan mengurangkan pengambilan daging di negara-negara kaya, pengguna dan kerajaan dapat mengurangkan pencemaran ke atas alam sekitar secara signifikan.
Justeru, pengenalan sistem makanan berasaskan tumbuh-tumbuhan dilihat dapat membantu dunia mencapai sasaran iklim global.
Dalam pada itu, Qaim berkata, peperangan di Ukraine dan kekurangan bekalan dalam pasaran antarabangsa menekankan kepentingan untuk mengurangkan pemberian bijirin sebagai makanan haiwan bagi menyokong keselamatan makanan.
“Separuh daripada bijirin yang dihasilkan ditanam untuk diberi makan kepada haiwan dan proses itu memerlukan kos yang tinggi selain amat tidak berkesan kepada tanah, air dan penggunaan tenaga.
“Selain sisa buangan, pertanian haiwan juga dikenal pasti sebagai penyumbang utama kepada penghasilan gas rumah hijau paling berkuasa, metana,” jelas Qaim.
Beberapa organisasi alam sekitar termasuk Greenpeace sebelum ini telah menggesa negara-negara Barat dan industri pertanian haiwan agar memberi perhatian kepada kemudaratan meluas daripada aktiviti pengeluaran daging.
Tahun lalu, organisasi tersebut turut meminta EU untuk mengurangkan penghasilan daging sebanyak 71 peratus menjelang 2030. – Agensi