Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM
JOHOR Darul Ta’zim (JDT) berjaya meletakkan Malaysia di kedudukan tinggi dalam peta bola sepak Asia setelah menempah slot ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Asia (ACL) dengan kejayaan menewaskan Ulsan Hyundai 2-1 kelmarin.
Kejayaan luar biasa yang dilakar oleh wakil tunggal negara itu menarik perhatian bola sepak antarabangsa, ketika belum pernah mana-mana kelab di Malaysia berada pada tahap itu.
Pengendali JDT, Benjamin Mora memberitahu, tidak ada rahsia kejayaan melainkan usaha keras pemain secara berterusan dengan menjalani latihan setiap hari, mempamerkan konsistensi dan produktiviti serta turun beraksi sepenuh hati pada setiap perlawanan.
Kata Mora, dia amat gembira dan tidak dapat menggambarkan dengan kata-kata menerusi kejayaan pasukannya mencipta rekod baharu kelab dalam saingan ACL selepas tiga musim terkandas di peringkat kumpulan.
Tambahnya, pada aksi berkenaan, gol penyamaan pantas kelab gergasi Korea Selatan itu bagi memadamkan gol pembukaan Leandro Velazquez sedikit menjejaskan rentak permainan JDT, namun pemain tetap gigih berusaha sehingga ke minit akhir perlawanan.
“Kami tahu perlawanan menentang Ulsan Hyundai ini akan menjadi perlawanan yang sukar, namun sedar peluang untuk kami mencipta kemenangan tetap ada sekiranya berjaya mengucar-kacirkan pertahanan lawan dan bertahan dengan ampuh.
“Setiap pemain tahu apa yang mereka perlu lakukan dan kami tidak pernah berhenti berharap untuk memburu gol. Siapa sangka kelab kerdil ini mampu mengetepikan Ulsan Hyundai.
“Sebelum kempen ACL bermula lagi, kami sudah menanam keyakinan bahawa kami mampu mencipta sesuatu yang luar biasa. Ini adalah detik bersejarah buat JDT dan individu yang bertanggungjawab di atas kejayaan ini tidak lain tidak bukan adalah Tunku Ismail Sultan Ibrahim,” katanya pada sidang akhbar semalam.
Kesilapan pemain pertahanan Ulsan Hyundai, Park Yong-woo yang terkuis bola ke gawang sendiri memberikan kemenangan penting buat JDT untuk menamatkan saingan Kumpulan I sebagai pendahulu dengan mengutip 13 mata dari enam perlawanan yang disertai.
“Beraksi di laman sendiri dan di hadapan ribuan penyokong setia nyata memberi kelebihan buat kami. Keadaan cuaca yang panas juga turut memainkan peranan untuk pasukan beraksi lebih baik berbanding lawan.
“Persediaan rapi menghadapi lawan turut menjadi faktor penting, kami menganalisis setiap pasukan yang akan dihadapi, corak permainan mereka, karakter dan kelebihan setiap pemain yang perlu diberi tumpuan.
“Walaupun gol kemenangan adalah jaringan sendiri, itu juga adalah hasil usaha pemain yang agresif memburu gol hingga memaksa pasukan lawan tersilap langkah,” katanya.