LIVERPOOL – Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp memberi jaminan pasukannya bersedia untuk berjuang sehingga ke ‘penamat’ selepas berjaya mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Newcastle United pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) kelmarin.
Pada aksi tersebut, Klopp telah membuat rombakan dalam kesebelasan utama The Reds sebelum meraih satu gol hasil jaringan tunggal Naby Keita sekali gus menyaksikan pasukan itu mengekori rapat pendahulu EPL, Manchester City di tempat kedua.
Kata Klopp, pasukannya telah memberikan aksi yang terbaik di atas padang meskipun jelas ada dalam kalangan mereka masih lagi kepenatan memandangkan hanya memiliki kurang tiga hari waktu rehat selepas aksi separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah menentang Villarreal minggu lalu.
“Saya bangga dengan prestasi yang dipamerkan oleh pasukan kerana bukan mudah untuk meneruskan momentum kemenangan meskipun berdepan jadual padat selain situasi yang kami lalui ketika ini untuk mencabar kejuaraan juga memberikan tekanan tersendiri.
“Namun, pemain telah membuktikan bahawa tiada apa yang perlu dirisaukan dan mereka bersedia untuk mengharungi baki saingan musim ini kerana sedar masih ada tiga kejuaraan yang berpotensi untuk dimenangi.
“Apa yang pasti, semua pemain telah memberikan seratus peratus di atas padang meskipun sebelum ini jarang diturunkan seperti James Milner yang sememangnya salah seorang pemain profesional terbaik yang kami miliki,” katanya.
Skuad Liverpool akan mengalihkan tumpuan untuk mengharungi aksi kedua separuh akhir bertemu Villarreal di La Ceramica, Sepanyol pada awal pagi Rabu ini selepas memiliki kelebihan 2-0 untuk meletakkan sebelah kaki ke pentas final minggu lalu. – AGENSI