PETALING JAYA – Impian usahawan kontroversi bergelar penyanyi Iqbal Zulkefli untuk memiliki seorang anak akhirnya dimakbulkan Tuhan selepas mengambil seorang anak angkat lelaki yang baru berusia tujuh hari.
Iqbal atau nama lengkapnya Ahmad Iqbal Zulkefli, 28, berkata, buat masa ini dia tidak boleh mendedahkan wajah anak lelakinya itu untuk tatapan umum.
“Allah SWT makbulkan doa saya. Jantinanya lelaki dan belum ada nama. Tali pusat pun belum gugur lagi. Saya tidak boleh tunjukkan muka (anaknya),” tulis Iqbal dalam satu hantaran yang dimuat naik dalam Instagram miliknya.
Peserta Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) itu berjanji akan menjaga anak angkat sepenuh masa termasuk memandikan, menukar lampin dan memberi susu walaupun terpaksa menjalani rutin harian yang padat tanpa pembantu.
“Bayangkan saya bela kucing dua ekor, urus perniagaan lagi dan pelbagai pekerjaan lain. Saya seorang tapi saya sempat buat. Cuma rumah tidak terurus sikit.
“Sesekali saya akan bagi pada ibunya jaga dan ambil semula. Doakan saya dapat jaga anakanda ini dengan sempurna. Biar dia membesar menjadi anak yang baik dan disayangi semua orang,” katanya.
Biarpun tidak mendedahkan wajah bayi tersebut, Iqbal telah memberikan bayangan tentang anak angkatnya itu berkulit putih, hidung mancung dan berambut lebat.
Bersempena dengan Syawal yang akan datang, pelantun lagu Hujan itu menegaskan tidak akan memberi keizinan kepada sesiapa untuk memegang dan mencium bayinya atas alasan keselamatan.
“Saya balik raya nanti tidak ada siapa boleh pegang dan cium (bayinya). Saya minta maaf. Cuma saya sahaja yang boleh menciumnya. Ini amaran tegas,” kata Iqbal.
Memandangkan bayi berusia tujuh hari itu masih belum diberikan nama, Iqbal turut meminta cadangan netizen untuk memberikan nama yang sesuai untuk bayi tersebut serta tip penjagaan bayi yang baru dilahirkan.
Menjengah dalam ruangan komen, beberapa orang pengikutnya telah memberikan cadangan nama yang sesuai untuk bayi tersebut dengan nama-nama ‘unik’ dan lucu.
“Bagi nama Mohd. Alvida,” usik seorang netizen.
“Ahmad Ramadhan Iqbal, Ahmad Muhammad atau Rizky Ramadhan,” cadang seorang lagi pengikutnya.
“Letak nama Aaron Dzakwan,” minta seorang pengikutnya.
Setakat ini, Iqbal bagaimanapun tidak memperincikan proses pengambilan dan kisah di sebalik penyerahan bayi tersebut daripada ibu kandungnya.
Sekadar info, Iqbal sebelum ini pernah beberapa kali mencetuskan kontroversi bermula dengan isu ‘kahwin tak jadi’ dengan usahawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Vida sehinggalah percubaannya menjadi penyanyi menerusi single sulung berjudul Hujan tahun lalu sehingga setiap perilakunya mengundang rasa ‘jijik’ masyarakat. – KOSMO! ONLINE