BAGAN SERAI – Operasi bagi mengesan saki-baki pendatang asing tanpa izin (PATI) yang lolos selepas bot mereka naiki terkandas pada beting pasir di perairan Kuala Kurau semalam giat dilakukan.
Gerakan tersebut turut dibantu anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di beberapa lokasi sekitar Kuala Gula dan Kuala Kurau
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, seramai 164 orang PATI warga Rohingya, Myanmar dan Bangladesh berjaya ditahan sejak semalam termasuk yang telah melarikan diri ke darat.
“Pemantauan terus dilakukan bersama PGA di beberapa lokasi sekitar bagi mengesan saki baki yang mungkin terlepas. Setakat ini kita tiada maklumat rasmi jumlah keseluruhan PATI yang berada di atas bot itu.
“Namun jumlah yang telah ditangkap adalah 164 orang termasuk 12 lelaki warga Rohingya yang bersembunyi di sebuah ladang kelapa sawit di Kuala Gula,” katanya di sini.
Mazuki turut meminta orang ramai menghubungi polis sekiranya melihat kumpulan individu yang mencurigakan berkemungkinan PATI yang melarikan diri.
Semalam, seramai 143 orang PATI berjaya ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) selepas bot yang membawa mereka terkandas di perairan Kuala Kurau dan daripada jumlah itu, seramai 86 PATI ditahan ketika berada di atas bot manakala selebihnya berjaya meloloskan diri dengan terjun dan berenang ke kawasan daratan yang berhampiran.
Kesemua mereka yang dibawa ke Jeti PPM Kuala Kurau kemudian dibawa dengann trak polis ke beberapa buah lokap termasuk lokap Ibu Pejabat Polis Darah Kerian. – KOSMO! ONLINE