SEPANG – Seorang pemandu teksi maut dipercayai tercampak keluar dari kenderaan yang dipandunya dalam kejadian kemalangan di jalan keluar KLIA 2 di sini, pagi tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, lelaki berusia 38 tahun itu memandu teksi jenis Toyota Innova terlibat kemalangan dengan sebuah kereta jenis Perodua Alza.
“Mangsa tercampak keluar dan meninggal dunia di tempat kejadian setelah disahkan oleh pihak Kementerian Kesihatan. Jarak mangsa tercampak adalah anggaran 10 meter.
“Pemandu Perodua Alza pula tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihak Balai Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerima panggilan pada pukul 6.14 pagi tadi serta bergegas ke lokasi kejadian dan tiba pada pukul 6.24 pagi dengan operasi diketuai oleh Ketua Operasi, Mohd. Ismadi Abd Rahman. – KOSMO! ONLINE