BERLOKASIKAN pusara isterinya, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin iaitu Tanah Perkuburan Sungai Pusu, Gombak, pemilik nama lengkap Shahmira Muhamad itu terlihat tenang menguruskan tiga orang cahaya matanya, Uwais Alqarni, 11; Dzahira Talita Zahra, 9, dan Ariq Matin, 7.
Sesekali Shuib, 38, mengusap ubun-bun anak kedua bongsunya, Matin yang masih ‘bertatih’ mengenal erti kehidupan sebenar, termasuk realiti bahawa ibunya sudah bertemu pengakhiran dunia dan dijemput Ilahi.
Sedondon berbaju putih, Shuib tiga beranak bagaimanapun semakin mengerti bahawa dalam kehidupan, tidak semua yang diimpikan akan berakhir dengan debunga indah.
Adakala, naratif kehidupan menemui kesulitan, akan ada sakit pahit yang mematangkan. Perihal sama diharapkan dapat diterima dan dipraktikkan ahli keluarga paling muda dalam ‘legasi’ mereka, Ayash Affan yang kini memasuki usia 10 bulan.
LEBARAN kali ini, buat pertama kali Shuib ‘kekosongan’ tanpa kehadiran seorang isteri, pendamping suri hatinya Allahyarham Siti Sarah Raissuddin. Namun di sisinya, ada ‘harta’ tinggalan wanita itu iaitu anak-anak yang mematangkan perjalanan hidupnya.
Raya sederhana, balik kampung
Pertama kali menyambut lebaran tanpa isteri yang merupakan tulang belakangnya selama 10 tahun terbelakang ini, Shuib reda dengan takdir tersebut. Harapannya agar anak-anak juga perlahan-lahan merasai emosi sama.
“Raya tahun ini berjalan macam biasa. Anak-anak memang bersemangat dan saya tak boleh pentingkan diri sendiri.
“Mereka janji berpuasa penuh dan apabila mereka tunaikan, sebagai bapa saya mesti meraikan pencapaian mereka.
“Saya nak mereka rasa apabila dah berjaya puasa, layak untuk mereka diraikan. Tujuan utama memang itulah, nak meraikan mereka.
“Nak bagi mereka lupa sedikit kesedihan.
“Rancangan memang ada nak balik kampung dan duduk lama sikit di sana (Perak atau Johor) dan mungkin selepas ini nak bawa mereka pergi bercuti.
“Maknanya, raya kali ini tiada di rumah. Tiada nak beria-ia sangat nak beli atau sediakan juadah.
“Baju raya ada beberapa helai dan kita pakai ikut kesesuaian warna,” katanya kepada HibGlam.
Secara peribadinya, Shuib tiada emosi atau rasa untuk menyambut lebaran kendatipun sudah hampir 10 bulan Sarah pergoi. Bagi Shuib, dia mahu meneruskan kehidupan sama seperti Allahyarham masih ada bersama.
Fasa ‘move on’
“Saya masih dalam fasa itu, susah nak move on. Saya tak kisahlah orang nak cakap apapun sebab yang merasakan kita.
“Lebih sembilan bulan (Sarah pergi), rasa macam semalam baru berlaku. Dalam tempoh tersebut rasa macam-macam dah berlaku.
“Memang tak rasa nak raya tapi itulah, saya tak boleh pentingkan diri sebab yang lebih penting itu adalah anak-anak.
“Mereka semangat berpuasa dan raya. Tapi itulah, keterbukaan anak-anak yang mahal sebenarnya.
“Maksud saya, keterbukaan mereka nak bercakap tentang ibu mereka tanpa menangis, tanpa rasa sedih. Saya tahu mereka anak-anak rindu tapi boleh bercakap pasal ibu bila-bila masa sahaja.
“Raya pun sama juga. Salah seorang daripada mereka tanya apa nak buat sebab ibu tiada.
“Yang rabaknya saya tapi mereka okey. Itulah satu benda yang Allah SWT beri pada mereka iaitu kekuatan dan ketabahan,” luah Shuib dengan lirik mata yang sedikit berkaca.
Melalui Ramadan dan Syawal bersama empat anak tanpa suri jiwa, Shuib tidak dapat menipu diri sendiri bahawa perjalanan memang perit. Namun, dia perlu cekal demi
‘harta’ peninggalan isterinya.
“Tipulah kalau saya cakap senang sebab memang susah. Sebab apa, sebab saya percaya semua orang waktu beraya nak merasa bahagia dan gembira. Nak lengkap satu keluarga.
“Nak tak nak, memang kena lalui sebab waktu takkan berhenti untuk kita. Saya berpegang dengan realiti bahawa ada benda baik, ada benda manis yang akan berlaku pada masa mendatang.
“Cuma mungkin nak melalui fasa tersebut sahaja sedikit berat buat siapa yang diuji dengan dugaan hidup. Sedih memang sedih, Hari pertama puasa, saya teringatkan arwah sebab tempat duduk biasanya di meja makan kosong.
“Ternampak ada satu pinggan kosong. Tanya keluarga untuk siapa, mereka jawab tak tahu semua berpandangan antara satu sama lain sebab pinggan itu berisi nasi tapi tiada yang punya. Dah terbiasa sebab kalau puasa dan raya, silap-silap semua orang dia ajak datang rumah,” ujar Shuib tertawa kecil.
Doa Sarah dihapuskan dosa
Benar, fasa ‘move on’ tidak mudah dan doa yang baik-baik akan terus setia dipanjatkannya buat kesejahteraan isteri yang kini sudah berpisah jasad.
“Dah biasa menangis. Tapi tak mengapa, kita niatkan setiap titisan air mata, Allah angkat untuk ampunkan dosanya. Itu dah cukup baik.
“Turun naik rindu itu masih ada. Ada waktu kita rasa kuat, ada waktu kita bangun pagi okey rasa best. Macam tempoh hari, kami dan anak-anak balik kampung fikiran rasa sangat lapang. Dada lapang apa semua. Ajak kawan-kawan di bandar, tangkap dan bakar ikan.
“Tapi, apabila balik KL langkah sahaja pintu rumah, automatik semua kenangan kembali dalam fikiran macam hari pertama saya hilang Sarah.
“Bila tak okey, memang kena declare tak okey. Waktu tak stabil, kita baca al-Fatihah, mengaji atau bersedekah.
“Mungkin juga menangis. Ustaz cakap, nangis sahajalah sebab Rasulullah sendiri buat begitu. Menangis dengan doa dan harapan sebagai penghapus dosanya.
“Entahlah, tak pandai nak ungkapnya nak move on bagaimana padahal dah lebih sembilan bulan. Jadi, kita tempuhi sahajalah kehidupan dengan harapan semuanya dipermudahkan. Insya-Allah mesti okey nanti,” katanya menggulung bicara.